Saingan penutup Pusingan 4 MAM Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang melabuhkan tirai dengan penuh mendebarkan menerusi aksi penentuan Perlumbaan 2. Perlumbaan akhir bagi musim 2026 ini menyajikan pertarungan sengit di atas litar apabila barisan pelumba tempatan dan antarabangsa berentap hingga ke pusingan terakhir sebelum juara keseluruhan musim ini sah dinobatkan.

Dalam saingan kategori MSBK1000 A, cuaca hujan menyaksikan Muhd Zaqhwan Zaidi memulakan perlumbaan dengan cemerlang untuk mendahului sehingga Pusingan 3 menerusi catatan 2’25.619s. Diekori rapat oleh Mohammad Adenanta Putra, Azroy Hakeem Anuar, Kasma Daniel Kasmayudin dan Azlan Shah Kamaruzaman. Rentak perlumbaan berubah mendadak pada Pusingan 4 apabila Azlan memanfaatkan pengalamannya dengan mencatat masa 2’24.430s untuk memintas Adenanta, Kasma dan Zaqhwan sekali gus merampas kedudukan pendahulu.
Memasuki Pusingan 5, Azlan terus mengawal rentak di hadapan sambil diekori rapat oleh Adenanta dengan jurang hanya 0.349s, manakala Azroy berjaya memintas Kasma pada Pusingan 6 untuk merampas tempat ketiga. Tekanan semakin memuncak menjelang penghujung saingan apabila Adenanta memacu jenteranya sehingga kelajuan tertinggi 287.2 km/j pada Pusingan 8 bagi mengejar kelebihan 0.672s Azlan, sementara Azroy pula merekodkan masa terpantas ketika itu pada Pusingan 9 menerusi catatan 2’23.792s untuk merapati kelompok hadapan.

Drama kemuncak berlaku pada pusingan ke-10 dan terakhir apabila Adenanta terjatuh ketika cuba mengejar Azlan, sekali gus menaikkan Azroy ke tempat kedua dan Kasma ke tempat ketiga. Azlan menamatkan pusingan terakhir dengan catatan terpantas perlumbaan 2’23.694s untuk muncul juara menerusi masa keseluruhan 24’14.266s, diikuti Azroy di tempat kedua (24’16.203s) dan Kasma di tempat ketiga (24’24.294s) yang sudah memadai untuk menobatkan pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia itu sebagai juara keseluruhan musim.
Beralih kepada kategori MSBK1000 B, Sankaran Shamugam memulakan perlumbaan di hadapan Chau Chi Chuen dan Alvinderjitsingh sebelum pelumba China, He Junpeng melonjak dari belakang pada Pusingan 2 untuk merampas kedudukan pendahulu. Saingan awal turut menyaksikan Wesley Lim Shing Shiong terpaksa menarik diri pada Pusingan 3, manakala Junpeng kekal mengawal perlumbaan sehingga Pusingan 5 di bawah tekanan rapat Chi Chuen yang mengekori dengan jarak hanya 0.170s.

Detik penentuan bermula pada Pusingan 6 apabila Chi Chuen berjaya memintas Junpeng untuk mendahului perlumbaan, namun Junpeng enggan mengalah dan kekal mengekori pada jarak 0.443s. Kedua-dua pelumba ini bertarung sengit sesama sendiri selama tiga pusingan berikutnya dengan meninggalkan jauh kelompok pelumba lain di belakang.
Pertarungan memuncak pada pusingan terakhir apabila Junpeng melakukan gerakan agresif untuk merampas semula kedudukan pertama, tetapi Chi Chuen kekal tenang menggunakan teknik slipstream keluar dari selekoh terakhir untuk memintas di laluan lurus utama. Chi Chuen melintasi garisan penamat sebagai juara dengan masa keseluruhan 26’05.568s, menewaskan Junpeng di tempat kedua (26’06.994s) dan Sankaran di tempat ketiga (26’31.135s). Keputusan tempat kedua berturut-turut memberikan Junpeng gelaran Weekend Champion, manakala Santhiran A/L Naga Raju sah dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim.

Melengkapkan aksi penutup musim dalam kategori MSBK600, pelumba Honda Racing Thailand, Thanat Laoongplio mempamerkan penguasaan mutlak apabila melonjak ke hadapan sejurus perlumbaan bermula di hadapan Muhd Helmi Azman, Muhd Syarifuddin Azman, Kitsada Tanachot, dan Ashraff Zaquan Bin Zainal Raif. Thanat terus mengukuhkan kedudukan apabila melebarkan jurang kepada 3.022s pada Pusingan 2 dan 5.417s pada Pusingan 3 menerusi catatan 2’27.595s, sementara Syarifuddin dan Kitsada memintas Helmi sebelum Helmi merampas semula tempat ketiga pada selekoh terakhir Pusingan 3.
Pertarungan merebut baki kedudukan podium semakin sengit pada Pusingan 6 apabila Helmi memacu jenteranya sehingga kelajuan tertinggi 247.1 km/j dan mencatatkan masa terpantas perlumbaan 2’27.545s untuk saling bertukar posisi dengan Syarifuddin dan Kitsada. Memasuki pusingan ketujuh dan terakhir dengan kelebihan selesa 4.558s, Thanat tenang melintasi garisan penamat sebagai juara menerusi masa 17’25.581s, menewaskan Helmi di tempat kedua (17’28.717s) dan Syarifuddin di tempat ketiga (17’28.772s), sekali gus menobatkan Thanat sebagai juara keseluruhan MSBK600 dengan kutipan 145 mata.

Berakhirnya aksi Pusingan 4 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang secara rasmi menutup tirai saingan MAM Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2026 dengan penuh prestij. Aksi kompetitif yang dipamerkan sepanjang musim membuktikan tahap daya saing pelumba serta pasukan semakin meningkat, sekali gus menjadi penanda aras positif menjelang saingan musim baharu tahun hadapan.

TOP 3 Terpantas – MSBK1000 A
1. Azlan Shah Kamaruzaman – AMI Suzuki Motorsport (24’14.266s)
2. Azroy Hakeem Anuar – Honda Racing Malaysia (24’16.203s)
3. Kasmna Daniel Kasmayudin – Hong Leong Yamaha Malaysia (24’24.294s)
Kedudukan Keseluruhan
1. Kasmna Daniel Kasmayudin – Hong Leong Yamaha Malaysia (144 poin)
2. Azlan Shah Kamaruzaman – AMI Suzuki Motorsport (142 poin)
3. Adam Norrodin – AMI Suzuki Motorsport (116 poin)

TOP 3 Terpantas – MSBK1000 B
1. Chau Chi Chuen – B.A Tuning (26’05.568s)
2. He Junpeng – China (26’06.994s)
3. Sankaran Shamugam – RACEHUB Racing Team (26’31.135s)
Kedudukan Keseluruhan
1. Sankaran Shamugam – RACEHUB Racing Team (141 poin)
2. Alvinderjit Singh – Malaysia (113 poin)
3. Jeff Cheong – B.A Tuning (98 poin)

TOP 3 Terpantas – MSBK600
1. Thanat Laoongplio – Honda Racing Thailand (17’25.581s)
2. Muhd Helmi Azman – Malaysia (17’28.717s)
3. Muhd Syarifuddin Azman – Malaysia (17’28.772s)
Kedudukan Keseluruhan
1. Thanat Laoongplio – Honda Racing Thailand (145 poin)
2. Muhd Helmi Azman – Malaysia (131 poin)
3. Khairul Idham Pawi (106 poin)

































