Menerusi media sosial dan banner yang telah berterbangan serta info diterima oleh Roadstar, satu lagi jenama motosikal nasional kedua di Malaysia bakal diperkenalkan sedikit masa lagi.
Diberi nama AFAZ, ia merupakan salah satu jenama motosikal di bawah Syarikat KMSB Motors Sdn Bhd (KMSB) yang telah menjalinakn Kerjasama strategik dengan Suzuki Motor Corporation (SMC) Jepun.

Untuk masa terdekat ini, jenama nasional itu akan memperkenalkan model kapcai pertamanya Kencana Sport 115 dan peminat boleh melihat secara dekat di pengedar rasmi seluruh negara pada tag harga RM5,799
Menurut pandangan Roadstar, Kencana Sport 115 memiliki persamaan dengan model Suzuki Smash F1 yang cukup popular di negara jiran Asia Tenggara. Bukan sahaja dari segi reka bentuk malah model ini turut berkongsi enjin yang sama dengan model terbabit.

Info yang diterima, Kencana Sport 115 dilengkapi dengan enjin berteknologi Suzuki Oil-Cooling System (SOCS) dengan penghasilan kuasa 9.2Hp pada 7,000rpm dan 9.1Nm pada 6,500rpm.
Model ini ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Delima Red dan Laguna Blue dengan kuasa enjin yang ditawarkan adalah enjin silinder tunggal empat lejang, bersesaran 115cc SOHC dan suntikan bahan api (FI) serta sejukan cecair.

Ciri lain yang menarik perhatian pada model pertama AFAZ ini adalah penggunaan lampu jenis LED dibahagian depan (multi DRL) dan belakang, paparan meter jenis analog yang jelas, penyerap hentakan belakang efisien dan sistem penghidup jenis One-Touch Easy Start System.













