Dalam musim 2021, Honda AFB Tech Racing akan memperkenalkan 2 muka baru untuk Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS iaitu Awal Mohd Alfikri bagi slot CP125 serta Adib Hareez Hazwat untuk kelas Wira. Awal Mohd Alfikri, yang menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing pada musim 2020, teruja dengan peluang untuk belajar dari pelumba veteran negara, Ahmad Fuad Baharudin.
Sementara itu, Adib Hareez Hazwat akan membuat penampilan sulung dalam kategori Wira KBS. Pelumba muda kelahiran Melaka itu menduduki tempat ke-6 keseluruhan dalam Cabaran Honda Dash 125 2020. Pada masa yang sama, pelumba pasukan Wira tahun 2020 iaitu Abdullah Qayyum masih kekal bersama pasukan AFB-Tech Racing dan akan mewakili pasukan dalam kategori CP125.
Walaupun barisan pelumba pasukan Honda AFB Tech Racing banyak berubah, akan tetapi pasukan kendalian Ahmad Fuad Baharudin itu telah memutuskan untuk menggunakan corak warna identity yang sama seperti musim 2020.
“Tahun ni pasukan masih mengekalkan ‘livery’ yang sama sebab tahun lepas tak puas lagi pakai livery ini,” kata Ahmad Fuad.