Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini mengumumkan tiga warna baharu untuk model MT-15 bagi model versi 2022. Jentera dalam kategori small sportbike itu kini menerima warna Cyan Storm (Kelabu), Midnight Black (Hitam) dan Icon Blue (Biru) yang lebih menarik. Seperti sebelum ini, perubahan hanya melibatkan warna dan grafik luaran.
Sehingga kini, model dari keluarga naked Yamaha MT ini sudah mengalami perubahan warna sebanyak tiga kali selepas kali pertama hadir pada tahun 2021. Untuk versi 2022, terdapat 7 pembaharuan di bahagian spesifikasi motosikal terbabit. Untuk info, jentera naked streetfighter yang dilancarkan pada Februari 2021 di Thailand masih menggunakan enjin silinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 155cc yang mampu menjana kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan tork 14.7Nm pada 8,500rpm.
Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan bersama klac jenis basah. Suspensi pula menggunakan khidmat fork teleskopik di hadapan, di samping lengan ayun dan penyerap hentak tunggal di belakang. Bagi sistem pemberhentian, tugas itu diserahkan kepada brek cakera pada kedua-dua roda. Rim bersaiz 17 inci itu dibalut oleh tayar bersaiz 110/70 depan dan 140/70 di belakang. MT-15 menggunakan rim bersaiz 17 inci dengan saiz tayar berbeza, 110/70 di depan dan 140/70 di belakang.
Motosikal ini turut hadir dengan beberapa ciri moden lain seperti butang penghidup enjin, paparan meter digital, sistem lampu hadapan dan belakang LED. Bagi memudahkan tunggangan, ia hanya seberat 133kg dengan tinggi tempat duduk 810mm dan jarak kelegaan tanah sekitar 155mm.
Jika anda berminat, harga MT-15 bagi versi 2022 terdapat peningkatan berbanding sebelum ini iaitu RM12,298 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan yuran pendaftaran) dan sudah berada di pasaran sejak 13 Jun lepas. Kepada pemilik baru, anda akan menerima kunci cakera brek Yamaha dengan setiap pembelian model ini.