Petronas FP1 seperti yang dilihat ini adalah sebuah jentera yang asalnya dibina untuk MotoGP. Namun, perjalanan kisahnya agak bercelaru membuatkan ia kekal tersimpan sehinggalah dibuka untuk bidaan baru-baru ini.
Menurut portal Rideapart, semasa membangunkan jentera ini untuk MotoGP, Petronas mengubah fikiran dan ingin menyertai WSBK. Kedua-dua siri perlumbaan ini mempunyai peraturan berbeza tentang keperluan jentera yang digunakan dan membuatkan Petronas mengurangkan sesaran sehingga 899cc. Jentera ini kemudiannya mampu menghasilkan 127 hp dan layak untuk menyertai WSBK seperti dijangkakan Petronas.
Malangnya, WSBK menukar peraturan selepas Petronas bersedia dengan 150 jentera yang mematuhi kriteria awal siri perlumbaan ini. WSBK telah mengubah kriteria di mana jentera perlu bersesaran sehingga 1000cc. Ironinya, ia adalah apa yang sepatutnya dihasilkan Petronas mengikut spesifikasi asal MotoGP.
Apa jadi dengan 150 motosikal yang telah dibina oleh Petronas untuk menyertai perlumbaan WSBK ini? Sebelum itu, setengah motosikal ini dihasilkan di Malaysia dan setengah lagi telah dibina di UK serta menyasarkan penyertaan pada tahun 2003.
Hanya 50 buah motosikal disimpan untuk tujuan perlumbaan dan selebihnya dijual kepada umum dengan menggantikan lampu serta cermin agar boleh digunakan atas jalan raya. Namun, tidak satu pun dilepaskan ke pasaran sehinggalah tahun 2005 menerusi pengedaran tunggal di Malaysia.
Pada tahun 2018, sebuah syarikat British dengan nama Lanzante Limited berjaya mendapatkan motor-motor FP1 ini. Syarikat yang lebih dikenali membuat kerja-kerja restorasi kereta lumba klasik, Lanzante Limited memulakan kerja-kerja membaikpulih motor-motor ini untuk dipasarkan ke seluruh dunia. Namun, masih belum dapat dipastikan samada motor yang sedang dilelong oleh Iconic Motorbike ini datangnya dari Lanzante Limited.
Kalau diberi peluang, ada tak yang nak beli motosikal Petronas FP1 ini?
Sumber : Rideapart