Yamaha adalah pembuat motosikal yang sangat bergantung pada teknologi perlumbaan dalam kancah MotoGP dalam motosikal jalanan mereka. Kejayaan di litar diterjemah ke dalam dunia produksi menerusi model penting yang meletakkan posisi sebagai pengeluar paling disegani pada era pasca millenium. Sebut sahaja R1, kita tak perlu menyebut nama penuhnya Yamaha YZF-R1, dari budak sekolah, sampai ke suri rumah pun kenal dengan superbike lagenda ini.
Brotherhood R1 merupakan sekumpulan peminat jentera Yamaha R1 tempatan yang diterajui oleh beberapa orang penting. Pengasas asal kumpulan ini ialah saudara Yusli Haji Yunus yang juga merupakan ahli kelab Gagak Hitam Bikers yang aktif. Kalau korang biasa dengan superbike, kumpulan Gagak Hitam Bikers ni bukanlah nama yang asing. Semuanya otai-otai belaka.
Ketika kelab lain dah sunyi sepi dari Superbike kepada motor-motor tegak naked dan touring, geng ini masih lagi setia dengan mesin-mesin 1000cc mereka. Bukan itu sahaja, makin meriah dengan track day dan juga penglibatan dalam perlumbaan seperti Malaysian Super Series.
Sejak membeli jentera ini 3 tahun lepas, Yusli banyak menghabiskan waktu bersama motosikal ini di hujung minggu. Di hari-hari biasanya beliau sibuk dengan tugasannya sebagai Penolong Pengarah di salah sebuah Hotel terkemuka. Apatah lagi melayan kerenah 2 orang anak yang kini telah memahami hobi ayah mereka yang sukakan motosikal. Jadi bikers ni faham-faham aje lah, hujung minggu tu penuh dengan aktiviti.
Setiap hujung bulan akan diadakan perjumpaan rasmi TTS Briotherhood R1. Di sini, ahli yang duduk bersama berbincang mengenai isu semasa dan juga aktiviti kelab yang dirancang. Pada 2014, mereka telah membuat kerja amal sumbangan bantuan kepada mangsa banjir di Temerloh Pahang. Brotherhood R1 juga kerap mengadakan ride amal ke rumah kebajikan, rumah anak yatim, aktiviti berbuka puasa dan sebagainya
Sering juga mereka membantu sesama rakan bikers menerusi kutipan derma kilat. Semangat bikers memang kental, setakat nak tolong kawan tu bila-bila masa saja pun boleh. Sedara mintak tolong pun boleh tangguh-tangguh lagi biasanya. Hahaha.
Walaupun telah bergelumang dengan dunia motosikal sejak dekad 90-an, itu tak menghalang Yusli dari terus menimba ilmu tunggangan. Disiplin dan keutamaan terhadap aspek keselamatan menjadi fokus utamanya dalam menerapkan tunggangan berhemah. Pengalaman lalu telah memberi beliau memori yang cukup sukar dilupakannya.
Beberapa tahun lepas beliau terlibat dengan kemalangan sewaktu perjalanan ke program amal berbuka puasa di Port Dickson. Kemalangan itu menyebabkan pergelangan tangannya patah dan terpaksa berehat beberapa bulan.
Benarlah kata isteri saya, kalau dah pegang throttle motor tu bayangkan muka anak-anak, kita akan lebih ada pedoman. Tapi masalahnya bila dah ramai atas jalan, itu yang susah nak kawal nafsu!
Memori pahit keduanya bila kehilangan rakan bikers dalam kemalangan yang berlaku di depan mata. Ketika bersantai hujung minggu di Lebuhraya Karak berlaku kemalangan yang membabitkan beberapa buah motosikal dan seorang dari rakannya terbunuh dalam kecelakaan tersebut. Dalam satu lagi insiden berbeza, seorang lagi kenalan juga terkorban ketika terbabas sewaktu menuruni pusat peranginan Cameron Highlands.
Darah bikers yang mengalir dalam dirinya sejak remaja ternyata membakar impian untuk mengelilingi dunia dengan motosikal jika berpeluang. Berapa banyak duit yang dikorbankan demi minat dan cita-citanya itu sudah tak terhitung. Kini, beliau bersama kelabnya sedang gigih menyiapkan jentera untuk perlumbaan MSS.
Gagak Racing Team bakal menurunkan 2 jentera BMW S1000RR untuk perlumbaan MSS musim 2016. Kesedaran ini juga telah memberi aliran baru untuk mendidik bikers generasi baru dan lama ke arah perlumbaan yang teratur. Mereka cuba mencari bakat pelumba yang boleh diketengahkan dalam kancah perlumbaan sebenar
Kami di Roadstar sentiasa menyokong sebarang usaha untuk meningkatkan imej bikers di luar sana. Berdasarkan pengalaman yang lepas, sokongan terhadap perlumbaan perlu digiatkan agar kita dapat melahirkan lebih ramai Khairul Idham Pawi di masa hadapan. Bikers kental di kalangan otai-otai ini juga boleh menjadi contoh terhadap generasi baru.