Tetap Meriah Walau Disambut Hujan

Berlangsung di perkarangan Masjid Nurul Ihsan Langgar, Kedah, program ini merupakan kali kedua anjuran Dewan pemuda PAS Pokok Sena dengan kerjasama DACS Pokok Sena, ARC Pokok Sena dan Jabatan Amal Pokok Sena. Dimulakan seawal pukul 8.00 pagi sehingga 1.30 petang, pelbagai aktiviti disusun oleh pihak penganjur bagi memeriahkan lagi Pokok Sena Moto Fest ini.

Selain Moto Fest sebagai tarikan utama, turut diadakan adalah Sukan Rakyat seperti Dam Haji, Dart, Motor Lambat, Penalti Gol Kecil dan Timbang Ribu. Bukan itu sahaja, golongan kanak-kanak juga tidak dilupakan dengan penganjuran segmen Sukaneka.

Walaupun hujan sebelum program diadakan, ia tidak mematahkan semangat para peserta dan pengunjung untuk turun padang menghangatkan lagi penganjuran Pokok Sena Moto Fest ini. Manakala untuk segmen Moto Fest sendiri, pelbagai aktiviti disediakan termasuk Moto Karat Rare, Motor Klasik Vespa, Moto Show Open dan sesi Menukar Minyak Enjin.

ARC turut membuka gerai khas untuk para pengunjung yang berminat menjadi ahli di mana setiap keahlian menerima baju ARC dan cenderahati dari pihak ARC sendiri. Kehadiran Yang Berhormat Ust Afnan Hamimi Bin Taib Azamudden yang juga penasihat ARC memeriahkan lagi program ini. Beliau turut ditemani Ust Salim Mahmood Al-Hafiz, Naib YDP PAS Kawasan Pokok Sena, Ust Ahmad Hamadah Bin Mohamad Sahuki, Ketua Pemuda PAS Pokok Sena dan ramai lagi.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Salim Mahmood Al Hafiz dan acara melabuhkan tirai dengan segmen Cabutan Bertuah serta penyampaian hadiah kepada para pemenang Motor Show. Semoga berjumpa lagi di masa hadapan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada barisan penaja seperti Koyoko, Dacs Pokok Sena dan ARC Pokok Sena.