Temukan Overlander Indonesia & Malaysia

Sempena Tahun Melawat Perak 2024, Majlis Pelancongan Lenggong bekerjasama dengan Majlis Daerah Lenggong, Lenggong 360 serta Jabatan Mineral dan Geosains berbesar hati menjadi tuan rumah untuk program santai dan TTS 2 Overlander iaitu Adet Vriono dan Rial Hamzah dari Indonesia.

Tidak ketinggalan memeriahkan program ini ialah rider dari Malaysia, Diami Yusoff (ayahmatmekah, Facebook) dan Hezeri Samsuri (caretamalaysia, Youtuber Malaysia). Selain menghimpunkan Overlander dari kedua-dua negara, ia juga salah satu usaha mempromosikan Lenggong Geopark supaya dijadikan persinggahan kepada semua Overlander sebelum melintasi sempadan.

Program Meet At River ini berlangsung selama 2 hari dan 1 malam yang diadakan pada 10 dan 11 Jun lalu, diketuai oleh En Yeop Lenggong. Kedua-dua Overlander dari Indonesia, saudara Adet Vriono dan Rial Hamzah selamat tiba di Branda Sungai Sumpitan pada 9 Jun.

Bagi makluman, mereka telah tiba di Malaysia beberapa hari sebelum memulakan ride ke Lenggong Perak. Sementara berada di sini, mereka telah ride ke Kuala Tahan untuk meninjau beberapa lokasi hotel yang bakal didiami rider dari Indonesia serta penyokong mereka yang akan hadir dan berlumba dalam program tahunan Rimba Raid 2023 di Kuala Tahan pada September nanti.

Pada 10 Jun, Hezeri Samsuri dan Diami Yusoff tiba dengan selamat di Branda Sungai Sumpitan. Kedua-dua mereka turun untuk berkongsi ilmu kepada rakan-rakan biker dalam program Meet At River. Kemudian, para peserta telah dijamukan dengan minum petang selepas solat dan berehat sebentar.

Selesai solat maghrib, para peserta berkumpul untuk jamuan makan malam dengan menu barbeku daging rusa istimewa. Selepas makan malam, 2 Overlander Indonesia berkongsi pengalaman ride mereka sambil mempromosikan produk-produk ‘riding’ dari Indonesia kepada rider Malaysia. Produk-produk tersebut pernah digunakan Yeop Lenggong bersama isterinya yang menerima penajaan dari kedua-dua Overlander ini semasa menjelajah ke Indonesia dengan jentera Yamaha Y15.

Antara produk yang digunakan mereka termasuk 7Gear dan Coriaz, Hezeri Samsuri juga tidak ketinggalan berkongsi pengalaman riding serta bidang fotografi. Manakala Hj. Diami Yusoff pula berkongsi pengalaman beliau ride ke Mekah, lima tahun lalu.

Beliau bersama tiga orang peserta lain dijangka akan mengikuti program Ride ke Masjid Aqsa pada tahun ini. Semoga segala urusan mereka dipermudahkan. Selepas selesai jamuan makan malam, beberapa rider mengambil peluang ini bertanyakan beberapa soalan kepada overlander.

Semua peserta dihidangkan sarapan pagi sebelum bersurai pada 11 Jun. Kebetulan pula, ada penjual durian dari Daerah Lenggong di hadapan Branda Sungai Sumpitan. Peluang ini digunakan para peserta untuk membeli dan menikmati durian Daerah Lenggong.

Sebelum meninggalkan Branda Sungai Sumpitan, Yeop yang juga penganjur program mengambil peluang ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja untuk program ini. Menurut beliau, mereka bakal menganjurkan GEOmeetCAMP 2024 nanti. ~kNor~