Tampil Elegan, Klasik Dan Tidak Lekang Dek Masa

2021 menandakan ulang tahun ke-100 Moto Guzzi, jadi tidak hairanlah banyak pihak khususnya peminat tegar jenama ini yang ingin meraikannya. Salah satunya, sebuah kedai di Tokyo, di mana seorang pembina motosikal kustom, Tomoyuki Soeda telah mengubah Moto Guzzi V50 keluaran tahun 1980. Deus Beretta. Bagaimana hasilnya? Bertambah cantik atau lebih buruk?

Motor V50 ini diperkenalkan buat pertama kalinya pada pertengahan 1970an, selepas Alessandro de Tomaso membeli syarikat itu. Ketika itu, mereka memerlukan motosikal bersesaran lebih kecil. Seterusnya, de Tomaso telah membawa masuk ketua jurutera, Lino Tonti dan akhirnya, V50 pun berjaya dihasilkan.

Masalah utama adalah harga dan dikatakan harga V50 ketika itu agak mahal. Jentera 490cc ini mempunyai daya penariknya tersendiri dan masih lagi mempunyai peminat sehingga ke hari ini. Berbalik pada tahun 2021, Deus Beretta ini dikekalkan enjin asal, kerangka, lengan hayun dan juga fork depan.

Namun, Tomoyuki membiarkan imaginasinya menakluk bahagian-bahagian lain bermula dari tangki sehingga ke bahagian ekor motor. Lebih kecil, bentuk tangki bahan api ini tampil lebih cantik dan dalam masa yang sama menonjolkan enjin 490cc ini dengan lebih baik. Ianya jelas kelihatan jika dilihat dari bahagian hadapan. Sosok motor ini tampil elegan, lebih kecil, klasik dan paling penting, tidak lekang dek masa.

Komposisi yang sangat menarik dan membenarkan V50 ini menyerlah dengan sendiri tanpa bergantung kepada elemen tambahan yang tidak sepatutnya ada. Jahitan yang ada pada pelana kulit berwarna krim ini benar-benar nampak elegan, ringkas dan kemas.

Jalur keemasan menaikkan lagi seri warna hijau pekat pada tangki bahan api dan mengelilingi logo Deus ex Machina yang dicat atas tangki tadi. Skru-skru emas mengetatkan lagi pegangan dan digunakan di bahagian tempat duduk. Kerangka ini diwarnakan dengan hijau pekat untuk memisahkan bahagian enjin dan bahagian-bahagian lain pada motor ini.

Sumber : Rideapart / deuscustoms.com