RTC Gopeng, Perak sekali lagi menjadi tumpuan para pencinta dunia permotoran dua roda khususnya kepada para pemilik motosikal Suzuki TXR150 sempena Himpunan TXR150 pada 30 Julai yang lalu. Dianjurkan oleh RetroStreetPerak dengan kerjasama RTC Gopeng Perak, penganjuran kali ketiga ini paling meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya!
Sebanyak 3780 buah motosikal Suzuki TXR150 berjaya dihimpunkan dalam satu program yang sama. Suasana di RTC Gopeng ini tidak ubah seakan sambutan Hari Raya dengan kehadiran para pemilik motosikal Suzuki TXR150 dari seluruh negeri. Tidak hairanlah, ia menjadi satu program yang dinanti-nantikan saban tahun oleh banyak pihak.
Selain berhimpun, bergambar dan suai kenal di antara sahabat permotoran lama dan baharu, turut dijalankan ialah segmen Autoshow yang memberi peluang para pemilik mempamerkan kecantikan serta keunikan motosikal masing-masing. Peluang ini juga digunakan sebaiknya dengan bertukar-tukar pandangan dan informasi tentang motosikal kesayangan mereka.
Namun begitu, program terpaksa ditamatkan awal untuk memberi laluan kepada para peserta yang datang dari jauh seperti Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis dan lain-lain. Tahniah dan terima kasih kepada para pencinta dunia permotoran khususnya peminat setia Suzuki TXR150!
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada barisan penaja yang sudi memberikan sumbangan barangan motosikal serta barang-barang lain termasuk Minyak Hitam, Tayar Minyak 2T dan macam-macam lagi. Antara yang sudi memberikan sumbang termasuk Koyoko, FKR Malaysia, Ismail Iderus, Nazs Motor, Funbox Carbox dan lain-lain. Tidak lupa juga kepada FAMA dan RTC Gopek selaku penaja tapak program.
Bukan itu sahaja, tahniah juga kepada barisan pemenang Autoshow dan pilihan-pilihan “The Best” iaitu cenderahati dari pihak penganjur. Seterusnya, tahniah kepada pemenang utama yang membawa pulang motosikal TXR150 iaitu motosikal Jerung yang menjadi milik pemenang cabutan bertuah dari Johor Bahru di mana cabutannya dibuat oleh seorang bayi lelaki berusia 9 bulan.
Akhir sekali, tahniah diucapkan kepada penganjur yang berjaya menganjurkan satu lagi program yang benar-benar meriah khususnya En. Fuad Ipoh bersama team beliau yang sanggup melakukan persiapan awal dengan melakukan promosi menerusi ride ke Utara Selatan dan Sentral tanah air. Hanya untuk menjemput para pencinta dunia permotoran untuk hadir ke program yang kini dikenali sebagai sambutan Hari Raya. Syabas!