Setelah berbulan-bulan lamanya industri pelancongan khususnya domestik kesuraman ekoran penularan wabak pandemik covid-19, akhirnya harapan kembali menyinari industri ini apabila Malaysia memasuki fasa pemulihan. Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mula berkuatkuasa 10 Jun hingga 31 Ogos ini menyaksikan beberapa lagi sektor telah dibuka dan diberikan lebih banyak kelonggaran dengan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
Pada hari pertama penguatkuasaan PKPP, sebuah sidang media Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah diadakan yang diketuai Datuk Seri Hajah Nancy Syukri. Menerusi sidang media ini, beliau mengumumkan pelancongan domestik (dalam negeri) telah dibuka dan dibenarkan untuk beroperasi.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Selangor mengajak rakyat Malaysia untuk bercuti dan melawat ke 9 destinasi menarik di negeri ini. Antara destinasi yang pasti menjadi pilihan khususnya penggemar dunia permotoran pastinya Litar Antarabangsa Sepang yang pernah menganjurkan pelbagai perlumbaan bertaraf dunia termasuk Formula 1 dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, Sepang menawarkan lebih banyak lokasi-lokasi menarik selain sukan permotoran.
Bagi makluman, daerah Sepang yang mempunyai lebih daripada 190,889 populasi mula berpesat di Bandar Baru Salak Tinggi. Kini, bukan sahaja ia menjadi laluan keluar dan masuk utama Negara dengan adanya dua buah lapangan terbang antarabangsa, KLIA dan KLIA2. Selain itu, ia turut menempatkan pusat membeli-belah premium pertama di Selangor, Sepang giat menarik ramai pelancong dari seluruh dunia menjadikannya salah sebuah daerah wajib kunjungi di Selangor.
Berikut beberapa lokasi menarik yang boleh dikunjungi jika anda ke Selangor.
Berjoging di Taman Tasik Cyberjaya
Terdapat beberapa trek larian terbaik yang boleh anda cuba dengan rakan-rakan. Juga tidak ketinggalan, persekitaran yang menenangkan serta udara yang segar di taman hijau ini sudah pasti akan memberikan satu perasaan yang nyaman untuk bersenam.
Singgah di Restoran Adik Abang untuk Sarapan Pagi
Tambahkan tenaga dengan bersarapan di lokasi kegemaran ramai iaitu Restoran Adik Abang. Disajikan dengan pelbagai makanan Malaysia yang lazat-lazat dan boleh dipesan dari menu mereka. Adalah sangat digalakkan untuk mencuba Lontong, Nasi lemak dan Roti Canai di kedai ini. Semestinya tempat yang tepat untuk penggemar ketiga-tiga makanan ini!
Bergerak ke Litar Antarabangsa Sepang
Para pengunjung akan dibawa ke seluruh kawasan litar ini dan dalam masa yang sama dapat mengisi pengetahuan tentang industri sukan permotoran. Lawatan ini merangkumi lawatan ke Grandstand, Race Control Room, Perdana Suite perdana dan banyak lagi. Jangan lupa untuk mengunjungi Muzium Automobil yang terkenal semasa berada di sana.
Makan tengah hari di Restoran Nasi Padang Minang Batang Kapeh
Jangan lupa untuk datang ke restoran Nasi Padang yang terkenal di Kampung Salak Tinggi pada waktu tengah hari! Penggemar masakan selera kampung dan tradisional yang sedap tak terhingga boleh datang ke sini untuk mencuba menu ikan bakar dan ikan keli mereka. Selain daripada kedua-dua menu tersebut, hidangan lain yang turut disajikan di sini!
Ikuti Mangrove Tour
Dikenali sebagai Taman Tema Aqua yang pertama dan terbesar di Malaysia, Aqua X menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan yang boleh dilakukan. Antaranya ialah Pakej Mangrove Tour yang akan membawa pengunjung berlayar ke kawasan hutan yang penuh dengan pemandangan indah dan bunyi burung eksotik di sekitarnya. Para pengunjung juga boleh mencuba senarai aktiviti menarik yang ditawarkan!
Melangkah ke Ladang Buah Naga
Terletak di Bagan Lalang, ladang ini dikenali dengan buah naga yang ditanam dan terdapat juga sebuah kafe yang boleh dilawati untuk mencuba menu istimewa iaitu Roti King Kong dan kentang tumbuk yang disajikan dengan kuah buah naga dan juga jus buah naga yang diperah segar!
Berbelanja di Mitsui Outlet
Luangkan hari di Mitsui Outlet Park yang terkemuka untuk dapatkan pengalaman membeli-belah yang terbaik di Sepang. Di sini terdapat pelbagai barangan berjenama dan mewah yang dipasarkan dengan harga yang menarik dan lebih murah berbanding pusat membeli-belah yang lain. Jangan ketinggalan untuk mendapatkan tawaran yang diberikan oleh setiap kedai di pusat membeli-belah premium ini!
Waktu minum di Book Barter Café
Berehatlah seketika dan bersantai di kafe yang menarik di Tamarind Square ini sambil menikmati waktu minum petang. Ruang dalaman kafe ini menggayakan konsep kedai buku di mana ia telah menjadi salah satu tempat yang digemari ramai, terutamanya para pelajar bagi menyiapkan tugasan kuliah. Bukan sahaja persekitaran kafe ini menenangkan, pencuci mulut dan kopi di sini juga menggiurkan. Jangan lupa untuk mencuba Japanese Cottony Cheesecake dan kopi flat-white mereka.
Bersiar-siar di sekitar Tamarind Square Cyberjaya
Selain terkenal dengan tempatnya yang amat Instagram-worthy, pengunjung boleh menyertai beberapa aktiviti mingguan di sini. Antaranya ialah aktiviti Zumba Fitness, Pound Fitness, Yoga dan aktiviti Piloxing. Pasar malam yang berkonsepkan urban turut diadakan pada hari Rabu ke-2 dan ke-4 yang boleh dilawati pada setiap bulan. Turut terdapat sebuah majlis hiburan yang dipanggil Lepaq, diadakan pada hari Sabtu terakhir pada setiap bulan di sini.
Makan malam di HM Sri Bagan Sepang
Satu penutup yang terbaik dengan makan malam sambil menikmati bayu laut yang sangat menenangkan. Bunyi ombak dan udara yang sejuk pasti akan mengubahkan mood agar lebih tenang. Pengunjung boleh memilih hidangan dari menu ala-carte atau pakej yang penuh dengan pelbagai pilihan. Semua menu di sini wajib cuba terutamanya Ikan Talapia Bakar, Ikan Siakap Steam dan Sambal Udang Petai yang amat disyorkan!
Itu dia… kalau sudah sampai sejauh ini, ia bermakna anda sudah membaca kesemua lokasi yang telah disenaraikan dalam jadual perjalanan. Oleh itu, jangan lupa untuk pergi ke Sepang yang menakjubkan di Selangor ini. Tidak dinafikan, Sepang pasti akan membuat anda kagum kerana tarikannya yang luar biasa!
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel. Anda juga boleh mengunjungi TourismSelangor di Facebook dan discoverselangor di Instagram. Selamat bercuti!