Sebelum lahirnya TL1000, Hayabusa dan GSX-R, Suzuki memang terkenal dalam inovasi penghasilan motosikal berprestasi tinggi. Momen paling mengangkat nama Suzuki ialah ketika di zaman pengeluar berlumba menghasilkan motosikal paling pantas dengan enjin paling kecil. Sesaran 250cc dan konfigurasi 2 lejang adalah antara pelopor era 90-an yang mana menyaksikan jentera Jepun bersaing dengan 3 model utama Yamaha dengan TZR250SPR, Honda dengan NSR250R dan Suzuki RGV250.
Satu lagi yang mungkin anda masih ingat, datangnya dari Itali, Aprilia RS250. Aprilia menggunakan enjin yang sama dari Suzuki tetapi menalanya untuk mendapatkan puncak kuasa lebih tinggi melebihi 11,000 putaran enjin seminit.
Ini adalah replika RGV250 GP yang berjaya direstorasi ke arah originaliti yang paling tepat dengan konsep, pelekat dan tema pada tahun 1988. Ketika perlumbaan trek hampir tiada batas perundangan, pembuat motosikal boleh menghasilkan apa sahaja. Faktor keselamatan bukanlah fokus utama. Tiada had kuasa dan selagi motosikal mampu menghasilkan gabungan casis, enjin, brek dan pengendalian yang bagus, ia sudah pasti laku di pasaran.
RGV ini mungkin motosikal 250cc 90-an yang paling laris di dunia ketika diperkenalkan. Ia telah mengubah industri motosikal secara keseluruhan dengan menjadikan motosikal Grand Prix versi jalanraya satu kenyataan. Pada waktu itu, motosikal perlumbaan dengan tema fairing penuh dianggap janggal untuk pasaran komersial tetapi Suzuki membuktikan bahawa telahan itu salah dengan peningkatan permintaan mendadak setiap tahun.
Tidak sukar untuk memulihkan semula jentera 80-an ini seperti yang dilakukan Mohd Nizam dari Klang ini. motosikal ini tidak banyak kerenah ketika dibeli beliau beberapa tahun lepas. Kerja-kerja kemasan cuma dibuat di bahagian kosmetik dengan mengenakan pelekat PEPSI dan aksesori alatganti berprestasi tinggi. Saya masih ingat di zaman syarikat rokok giat mempromosikan motosikal mereka secara bebas pada era ini.
Setiap bahagian motosikal ini diperincikan dengan elok. Kemasan penting digilap seperti pengangkup brek depan dengan cakera berkembar itu. Kadang-kadang boleh jadi malu dengan motosikal moden yang masih menggunakan cakera tunggal dengan angkup 2 piston sedangkan teknologi Suzuki ini jauh mendahului zamannya. Brek depannya didatangkan dengan angkup 4 pot menjadikan 8 piston keseluruhannya untuk bahagian depan sahaja! Stopping power!
Pecutan kuasa bukanlah satu sandaran utama pemiliknya. Enjin dirapikan dengan baik asalkan tiada masalah kepanasan dan makan minyak hitam seperti yang biasa berlaku pada motosikal retro yang tidak dikondisi dengan baik. Sistem penyampaian bahanapi dan sistem pendawaian diperiksa satu persatu untuk memastikannya kekal dalam keadaan optimum. Satu lagi masalah yang biasa dilihat pada motosikal lama ialah masalah rectifier dan talaan karburetor.
Dengan semangat juang tinggi mengekalkan keaslian lama retro bike Jepun, usaha Mohd Nizam ini wajar dijadikan contoh pada generasi moden untuk menghargai apa yang telah dilakukan oleh jurutera terdahulu. Dalam mengembangkan teknologi jentera 2 roda ini kita telah melalui zaman yang panjang, teknologi yang pelbagai dan inovasi yang berubah mengikut zaman. Namun poliferasi asal 2 roda itu sendiri tidak pernah berubah dan saya cukup gembira bila melihat telah mula wujud kelompok baru yang beralih kepada motosikal koleksi kepada daily ride.