Penganjuran sulung aksi waktu malam di LYL International Karting Circuit bagi Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 bukan sahaja melakar lipatan sejarah baharu, malah diwarnai momen penuh emosi. Suasana hiba menyelubungi litar apabila barisan pelumba dan kru bertafakur memperingati Allahyarham Farres Putra Mohd Fadhil. Momen bapa arwah memegang helmet anaknya diiringi paparan poster kenangan membuktikan ikatan persaudaraan warga Cub Prix sentiasa mengatasi segala-galanya.
Bagi kategori kemuncak CP150, pelumba HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING, Azroy Hakeem Anuar, mempamerkan kebangkitan bertenaga untuk menguasai takhta perlumbaan malam tersebut. Bermula cemerlang dari petak utama hasil penguasaan sesi Shoot Out, Azroy terus meluru pantas mengawal saingan awal. Walaupun rakan sepasukannya, Shahrol Syazras, berada rapat di belakang, kehangatan saingan mula menuntut korban seawal pusingan ketiga apabila pemenang pusingan lalu, Md Helmi Azman dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING, terjatuh dan tersingkir daripada saingan kelompok hadapan.
Persaingan menjadi semakin tegang pada pertengahan perlumbaan apabila seteru utamanya, Kasma Daniel Kasmayudin daripada PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, mencatatkan masa pantas 1’11.316s untuk merapatkan jurang. Kasma berjaya memintas Azroy pada pusingan ke-13 apabila jentera Azroy mengalami sedikit penurunan kuasa akibat isu Throttle Position Sensor (TPS). Namun, Azroy bertindak pantas merampas kembali kedudukan pendahulu dan meningkatkan kelajuan pada pusingan terakhir untuk menjarakkan diri sejauh 2.311s sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan masa 19’14.971s.
Beralih ke saingan CP125, perlumbaan berlangsung penuh dramatik sebelum kemenangan akhirnya berpihak kepada pelumba IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM, Raiyan Khardanee M Sanusi. Saingan pada awalnya dimulakan dengan kawalan mantap pemegang petak utama, Md Khairi Asyraf Mahmood, sebelum Emil Idzhar Ezuan daripada PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING bertindak berani merampas kedudukan pendahulu pada pusingan kelima untuk memimpin perlumbaan.
Kemuncak persaingan meletus pada pusingan terakhir apabila kedudukan kerap bertukar tangan di kelompok hadapan. Ketika saingan hanya berbaki beberapa meter sahaja lagi, Raiyan melancarkan serangan nekad di selekoh terakhir untuk memintas Emil, sekali gus memecut laju melintasi garisan penamat dengan catatan masa 14’59.217s. Emil terpaksa akur di tempat kedua dengan jurang tipis 14’59.414s, manakala Ahmad Iqram Danish daripada HONDA RS MEGATECH RACING TEAM melengkapkan kedudukan tiga teratas di tempat ketiga (15’00.155s).
Raiyan yang ditemui selepas perlumbaan menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas komitmen tanpa henti pasukannya yang bertungkus-lumus mendapatkan pelarasan jentera terbaik. Menurutnya, berkat keyakinan serta semangat berbeza yang dirasakannya kali ini, beliau bangga dapat mendedikasikan kejayaan sulung berkenaan khas buat seluruh warga pasukan yang sentiasa meletakkan kepercayaan tinggi terhadap kebolehannya.
Sementara itu, kategori WIRA menyaksikan dominasi mutlak pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING menerusi kejayaan penamat 1-2. Ahmad Malek Ridha bertindak cemerlang menguasai perlumbaan akhir dengan catatan masa 12’34.152s. Bagaimanapun, tumpuan utama terarah kepada rakan sepasukannya, Nuzzul Ady Muhammad Sudin, yang menamatkan saingan di tempat kedua (12’39.076s) sekali gus mengesahkan gelaran Juara Keseluruhan WIRA Musim 2026 lebih awal walaupun saingan masih berbaki dua pusingan.
Perlumbaan WIRA bermula agresif apabila Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari pasukan IGOL BROTHERS 7 TECH RACING meluru pantas ke hadapan. Namun Malek dan Ady bertindak tangkas memintas seawal pusingan kedua. Berada di hadapan, kedua-dua pelumba ini mempamerkan tunggangan cukup kemas dan konsisten dalam cuaca sejuk malam, sekali gus menjarakkan diri sejauh tiga saat daripada kelompok mengejar menjelang pusingan keenam. Malek terus memecut selesa tanpa sebarang ancaman di hadapan sehinggalah melintasi garisan penamat.
Malek akhirnya melintasi garisan penamat selaku pemenang dengan masa 12’34.152s, diekori Ady di tempat kedua pada 12’39.076s bagi mengesahkan penguasaan 1-2 buat kem PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING. Akid melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan 12’40.022s. Malek meluahkan kesyukuran atas kesabaran dan kerjasama strategi berpasukan yang menjadi kunci kejayaan mereka. Bagi Ady pula, kejayaan mengunci gelaran kejuaraan keseluruhan dalam penampilan keduanya dalam kategori WIRA disifatkan sebagai pencapaian luar biasa yang bakal menjadi pembakar semangat bagi menghadapi baki saingan musim ini.
Top 3 Terpantas – CP150
1. Azroy Hakeem Anuar – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (19’14.971s)
2. Kasma Daniel Kasmayudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (19’17.282s)
3. Md Haziq Md Fairues – IDEMITSU HONDA YAM RACING (19’23.347s)
Top 3 Terpantas – CP125
1. Raiyan Khardanee M Sanusi – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (14’59.217s)
2. Emil Idzhar Ezuan – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’59.414s)
3. Ahmad Iqram Danish – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (15’00.155s)
Top 3 Terpantas – WIRA
1. Ahmad Malek Ridha – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (12’34.152s)
2. Nuzzul Ady Muhammad Sudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (12’39.076s)
3. Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (12’40.022s)