Pengembaraan Epik NVOG & Friends di Jawa Timur: Dari Surabaya ke Puncak Bromo

Menunggang motosikal bukan sekadar mengejar destinasi, tetapi merasai setiap detik perjalanan yang penuh makna. Kelab Permotoran NVOG & Friends telah membuktikan keindahan ini dalam pengembaraan mereka ke Jawa Timur. Disertai 36 ahli dari pelbagai latar belakang, perjalanan lima hari empat malam itu bermula dari Surabaya, melalui jalan-jalan yang mempesonakan sehingga ke puncak Gunung Bromo yang mistik.

Pengembaraan ini bukan hanya tentang menakluki jarak tetapi juga menjalin persahabatan yang erat, mendalami budaya tempatan, dan menghayati keajaiban alam. Dengan semangat kebersamaan yang kukuh, setiap kilometer menjadi lebih bermakna, menjadikan pengalaman ini sebuah kenangan yang akan terus hidup dalam hati setiap peserta.

Hari Pertama | Menyatukan Langkah di Surabaya [Khamis, 21/11/2024]
Pagi yang indah, diselangi semangat berkobar-kobar di KLIA2 menyaksikan dua kumpulan peserta bersiap sedia untuk penerbangan ke Surabaya. Setibanya di Lapangan Terbang Juanda, mereka disambut mesra sebelum menjamu selera di Primasasa Restoren dengan hidangan autentik Jawa seperti ayam penyet, sup buntut dan tempe goreng. Perjalanan diteruskan ke Masjid Al-Akbar, masjid terbesar di Surabaya, yang memukau dengan seni bina indahnya.

Pada sebelah petang, para peserta bertemu di hotel untuk menerima motosikal masing-masing. Ada yang sibuk menyesuaikan kenderaan. Tidak kurang juga, ada yang menikmati suasana kota Surabaya. Malam pertama dihabiskan secara santai, berbual dan berkongsi semangat untuk perjalanan menarik yang menanti.

Hari Kedua | Bermulanya Perjalanan Ke Gunung Bromo [Jumaat, 22/11/2024]
Selepas menikmati sarapan di hotel, konvoi NVOG & Friends memulakan perjalanan panjang ke Gunung Bromo, melalui jalan-jalan indah yang dipenuhi sawah hijau dan perkampungan tradisional. Kehangatan senyuman penduduk tempatan dan pemandangan memukau menjadi momen berharga yang terakam di hati setiap peserta. Perhentian pertama di Alun-Alun Pasuruan, lokasi bersejarah yang dikelilingi keindahan, dengan Masjid Jami’ Al Anwar yang telah berdiri megah sejak lebih 500 tahun lalu, tidak jauh dari Pantai Utara Jawa, sekitar 3km ke arah utara.

Petang itu, perjalanan diteruskan ke Sukapura, sebuah pekan kecil di kaki Gunung Bromo. Disambut udara segar dan pemandangan gunung yang menakjubkan, para peserta mendaftar masuk di Hotel Nadia untuk berehat. Malam diserikan dengan makan malam di Cafe Amorjiwa, di mana gelak tawa dan cerita perjalanan menghidupkan suasana, menambah rasa teruja untuk pengembaraan yang menanti esok hari.

Hari Ketiga | Keajaiban Gunung Bromo dan Kota Malang [Sabtu, 23/11/2024]
Jam 2 pagi, peserta sudah bersiap menuju View Point atau Seruni Point untuk menikmati keindahan matahari terbit di Gunung Bromo serta solat berjemaah di masjid di atas sana. Dalam kesejukan malam, perjalanan ke puncak diiringi deruan enjin motosikal dan pacuan empat roda 10 darjah celcius. Pemandangan matahari terbit yang perlahan menyinari Gunung Bromo mencipta suasana magis yang sukar digambarkan. Usai menikmati panorama, para peserta bergerak ke Lautan Pasir dan Savana Bromo, kawasan luas yang memukau dengan pasir hitam dan bukit kecil, menjadikannya lokasi sempurna untuk merakam kenangan.

Ramai yang mengambil peluang untuk menjelajah dengan lebih dekat lagi sehingga sanggup berjalan sejauh 2km atau menunggang kuda yang disediakan untuk tiba di kaki gunung berapi Bromo yang masih lagi aktif. Pemandangan di puncak sungguh menakjubkan. Perjalanan diteruskan ke Kota Malang. Di Kebun Raya Purwodadi, kami berjalan di bawah teduhan pokok besar, sebelum menikmati pengalaman memetik epal segar di Kebun Apel Malang. Destinasi terakhir di Museum Angkut memukau dengan koleksi kenderaan klasik dan replika bandar yang mempersona. Hujan lebat sedikit mengganggu perjalanan, tetapi semangat kekal tinggi sebelum hari ditutup dengan bermalam di Fave Hotel Malang.

Hari Keempat | Penjelajahan Kota Surabaya [Ahad, 24/11/24]
Selepas sarapan, peserta bergerak pulang ke Surabaya, namun perjalanan diteruskan dengan lawatan ke Masjid Cheng Ho. Seni bina masjid yang menggabungkan elemen Tionghoa dan Islam mencipta suasana harmoni yang memukau, menjadi simbol perpaduan budaya yang begitu bermakna bagi setiap peserta. Lawatan ini bukan sekadar melengkapkan perjalanan tetapi memberi makna yang mendalam kepada semua.

Pada sebelah petang, peserta menikmati masa bebas menerokai keunikan Surabaya. Ada yang membeli-belah di pasar tempatan, manakala yang lain mencuba hidangan autentik seperti rujak cingur dan tahu campur. Malam terakhir ditutup dengan makan malam istimewa di sebuah restoran, disertai acara penyerahan sijil penghargaan. Suasana penuh keakraban dan kenangan indah melengkapkan pengembaraan ini, meninggalkan memori yang akan kekal di hati setiap peserta.

Hari Kelima | Kembali ke Malaysia [Isnin, 25/11/24]
Hari terakhir perjalanan diwarnai dengan perasaan hangat dan penuh kenangan. Peserta mengembalikan motosikal yang telah menjadi teman setia sepanjang pengembaraan. Setelah itu, mereka menuju ke Lapangan Terbang Juanda. Gembira dengan kejayaan perjalanan, namun juga sedih kerana kembara “BROMO” berakhir di sini. Setibanya di KLIA2, pelukan dan salam perpisahan menandakan tamatnya perjalanan, namun kenangan dan ikatan persahabatan yang terjalin akan tetap dikenang selamanya.

Epilog | Pengembaraan yang Abadi – NVOG & Friends Bromo Adventure 2024
Penutup Pengembaraan 2024 ini lebih daripada sekadar perjalanan menunggang motosikal, ia adalah kisah tentang persahabatan, penemuan diri, dan penghargaan terhadap keindahan dunia. Setiap kilometer yang ditempuh oleh NVOG & Friends di Jawa Timur adalah bukti bahawa semangat kebersamaan mampu menjadikan setiap perjalanan luar biasa.

Seperti kata pepatah, “Perjalanan terbaik bukanlah tentang destinasi, tetapi tentang orang yang bersama kita.” Begitulah kisah NVOG & Friends di bumi Jawa Timur, satu pengembaraan yang akan terus dikenang sepanjang hayat. Kata dan pesanan orang dulu-dulu, “sehari dua kita bersahabat tetapi jika lebih dari 3 hari kita bersama, kita adalah saudara.” Jumpa lagi dalam siri Kembara dari NVOG & Friends!