Setelah menghabiskan masa lebih dua tahun setengah mengerjakan projek motosikal kustom menggunakan enjin motosikal yang tidak pernah dilihat sebelum ini dalam realiti, akhirnya Marek Foltis berbangga berkongsi Bistella 500 kepada dunia. Kesungguhan jurutera kelahiran Czech ini boleh menjadi inspirasi khususnya kepada mereka di luar sana yang berminat memulakan projek kustom tetapi tidak pernah berjaya menyempurnakannya dan terbengkalai begitu sahaja!
Nama Bistella diambil dari konfigurasi enjin di mana Foltis telah membina enjin 10-silinder, 2-lejang supercharged. Bagi memastikan rekaan enjin yang kompak ini boleh dimuatkan ke dalam kerangka Jawa keluaran tahun 1953 ini, beliau memilik konfigurasi radial stacked. Rekaan terakhirnya mengandungi dua bentuk bintang yang terpisah, di mana setiap 5-silinder diambil dari enjin Jawa 50cc. Penat baca? Tunggu, ada lagi!
Mungkin sukar untuk membaca proses pemikiran Foltis ketika menghasilkan projek ini tetapi baginya, sasaran membuat projek ini adalah untuk memberikan kompleksiti mekanikal. Disebabkan itu, beliau bersungguh-sungguh mengusahakan 10-silinder ini di awal-awal projek. Jika anda betul-betul berminat untuk mengetahui apa yang ditulis beliau, boleh layari laman web khas untuk projek ini; https://www.bistella.cz/bistella-500-motorcycle/
Menurut Foltis, kuasa Bistella ini terhad sekitar 60hp pada 6,500 rpm. Bagaimanapun, mengikut kiraannya, motosikal ini mampu menghasilkan sehingga 120hp pada 10,000 rpm. Bagi tujuan bacaan yang dibenarkan atas jalan, ia meletakkan ia sebagai 12hp. Beratnya pula sekitar 155kg atau di bawah 342 paun.
Brek dan suspensi semuanya stok ekoran peraturan yang ditetapkan kerajaan Czech agar ia boleh digunakan secara sah di atas jalan raya. Kerangka yang digunakan seperti dikatakan awal tadi adalah dari Jawa 18 tahun 1953 yang dibiarkan tidak disentuh. Beliau telah memasangkan sistem pencucuhan transistor terkawal untuk memastikan semuanya boleh diuruskan tanpa masalah.
Projek yang telah siap ini dilihat dan kedengaran sebagai projek yang benar-benar gila. Apa yang menarik tentang penulisan Foltis tentang proses menghasilkan projek ini adalah beliau menceritakan segala-galanya termasuk kegagalan sehingga selesai. Bersesuaian dengan objektinya untuk memberi inspirasi kepada orang ramai di luar sana.
Di akhirnya, ia bukan semata-mata tentang kesempurnaan yang dibina untuk kali pertama. Sebaliknya kegagalan sepanjang menghasilkan sesebuah projek memberikan anda pengalaman agar dapat memperbaiki diri dari masa ke semasa. Selagi ingin berusaha dan bangkit dari kegagalan, teruskan sehingga ia benar-benar selesai.
Seperti pesanan yang ditinggalkan oleh Foltis, kita lebih kuat dari apa yang difikirkan dan perlu berusaha lebih keras untuk mendapat kekuatan. Benar!
Sumber : Rideapart / Bistella