Kisah Pengembaraan Ketika Pandemik Covid-19

Tahun 2020 menjadi satu sejarah yang tidak mungkin dilupakan walaupun untuk seratus tahun yang akan datang dan semuanya gara-gara pandemik covid-19 yang sehingga hari ini, masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Namun begitu, hidup harus diteruskan. Pelbagai aktiviti perlu dijalankan seperti biasa. Disebabkan itu juga, kerajaan Malaysia berusaha melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memberi ruang untuk rakyat Malaysia menjalani kehidupan seperti biasa dengan mengamalkan norma baharu.

Salah seorang yang mengambil peluang ini adalah saudara Chris yang sudah beberapa kali menunggang motosikal kesayangannya mengembara bagi menikmati pemandangan yang indah. Antara kembara yang pernah dikongsikan sebelum ini termasuk Loas, Thailand dan semestinya dalam Malaysia sendiri. Bagi tahun 2020 yang lalu, rancangan asal Chris adalah untuk meneroka Sarawak menerusi Borneo Ride 2.0 tetapi terpaksa dibatalkan kerana tuntutan 14 hari kuarantin yang dikenakan membuatkan beliau mengubah rancangan dan mengembara ke seluruh semenanjung Malaysia.

Ini bukan kali pertama Chris menunggang motosikal mengelilingi semenanjung Malaysia tetapi keadaannya sangat berbeza kali ini apabil menunggang ketika pandemik covid-19. Keputusan ini agak sukar dan memandangkan beliau ada baki cuti selama dua minggu, beliau memilih untuk mengembara dan enggan terus terperuk di rumah. Sepanjang pengembaraan ini, Chris patuh SOP yang ditetapkan serta memastikan sentiasa mencuci tangan sekerap mungkin dengan sanitizer sebelum menyentuh mana-mana bahagian badan untu kekal selamat. Apatah lagi apabila beliau menunggang secara solo, tiada pertemuan dengan penunggang motosikal lain mahupun berkumpul di tempat yang sesak.

Menurut Chris, mungkin ramai yang mengatakan tindakannya menunggang motosikal ketika pandemik ini adalah tidak wajar. Namun bagi Chris, apabila memikirkan dari sudut ekonomi khususnya lokasi-lokasi yang bergantung kepada pelancongan, ekonomi mereka terkesan teruk. Ribuan orang hilang pekerjaan kerana pihak majikan tidak dapat menampung kos operasi dan ada juga yang terpaksa berhempas pulas untuk menyediakan makanan untuk keluarga masing-masing.

Walaupun seluruh dunia diancam pandemik yang sama tetapi bukan semua dapat menghadapinya dengan cara yang sama. Beliau hanya menjalankan sebahagian kecil tanggungjawab dalam membantu perniagaan kecil dan ia juga sesuatu yang diminati serta dekat dihati Chris.

Hujan Dan Banjir
Buat beberapa hari yang pertama, Chris menunggang motor dalam keadaan hujan dan mengharungi banjir di beberapa bahagian di negeri Terengganu dan Kelantan. Keadaan paling teruk adalah di Rantau Panjang kerana air dari Sungai Golok melimpah keluar dan menenggelamkan pekan. Beliau yang mahu meneruskan perjalanan menerusi Jeli-Gerik ke Kedah telah tersekat di Rantau Panjang. Disebabkan ekzos motornya bersebelahan dengan enjin, Chris bergelut untuk menyeberangi kawasan banjir dan berkemungkinan menyebabkan klac terbakar sebanyak 20% bagi memastikan beliau tidak menutup throttle atau air akan memasuki enjin menerusi ekzos.

Beliau berjaya menyeberangi kawasan banjir dengan air sehingga tahap lutut dan ada masanya air melepasi 1 meter tinggi. Beliau tidak mahu mengambil keputusan kurang bijak dengan mengharungi air setinggi itu kerana tahu motornya tidak akan dapat bertahan. Beliau membuat pusingan U dan menggunakan jalan ke Jeli menerusi Tanah Merah dan akhirnya berjaya melepasi banjir.

Panik
Ini bukan sahaja masalah yang dihadapi oleh Chris malah, sebahagian besar dari kita iaitu LUPA. Semasa di Kelam Cave yang terletak di Perlis, beliau telah berjalan sejauh 300meter dan menyedari kunci motornya tiada dalam poket. Beliau terpaksa berjalan balik ke motor untuk mengambilnya dan mula panik apabila sampai ke motor, kuncinya tetap tiada di situ. Ketika itu, waktu sudah pukul 6.30 petang dan beliau hanya ada 1 jam sebelum hari kembali terang. Keesokan harinya pula, beliau perlu menghantar motor menaiki kapal ke Pulau Langkawi. Beliau mengesyaki kunci motornya terjatuh dalam sungai di dalam gua.

Sementara sibuk memikirkan tentang kunci, beliau sempat melihat gambar-gambar dalam album telefon pintarnya dan melihat kunci motor ada dalam salah satu gambar. Untungnya, kunci itu masih ada di tempat yang sama.

Travel Log
Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih terperinci tentang catatan perjalanan sepanjang pengembaraan Chris kali ini, beliau ada berkongsikan kisah ini dengan lengkap di Facebook di sini https://www.facebook.com/media/set/?vanity=592828834139061&set=a.3489627267792522.

Pengembaraan ke seluruh semenanjung Malaysia ini berakhir di Kuala Lumpur selepas 14 hari. Gambar diambil bermula dari ‘0’ km yang menandakan pusat Kuala Lumpur dan bangunan di belakang adalah bangunan Sultan Abdul Samad.

Chris turut berkongsi fakta menarik. Menurut beliau, 63 tahun dahulu, bendera British Union Jack telah diturunkan untuk kali yang terakhir di sini pada tengah malam 30 Ogos 1957 sewaktu jam mula berbunyi dan bendera Malaya dinaikkan untuk kali pertama pada 30 Ogos 1957 menandakan tamatnya zaman pemerintahan British di Malaya dan secara rasmi ditabalkan sebagai negara yang merdeka. Lokasi yang paling tepat untuk beliau menamatkan Malaya Tour!

Data Malaya Tour Trip
Perbatuan : 3105 km (termasuk bersiar-siar, jalan lasak dan sebagainya)
Kos bahan api : RM 258.75
Kos penginapan : RM 980.00 (14 hari)
Kos makanan : RM 350.00 (RM25 x 14 hari)
Kos penghantaran motor menggunakan kapal (Langkawi): RM 170.00
Harga tiket masuk untuk tempat-tempat pelancongan : RM178.00
Jumlah kos keseluruhan : RM 1936.75

Sumber : Rider Chris