Tampil lebih padu dan kemasan yang dilihat lebih menyerlah, model Aveta Nova 250 G Elite Edition, dilihat mampu memikat pengguna baharu dalam segmen skuter dan beralih pandang kepada model ini. Aveta turut memperkenalkan edisi terhad Aveta Nova 250 G Elite Edition dengan kemasan hendal sporty dan pemijak kaki logam. Empat elemen tambahan yang disediakan pada model edisi terhad ini adalah skema warna eksklusif, grafik unik serta nombor siri individu dan menawarkan nilai pemilikan tersendiri.
Untuk info, Aveta Nova 250 G Elite Edition masih sama dengan model standard dengan enjin berkapasiti 244.3cc satu silinder, 4 lejang, 4-injap, SOHC dengan sistem penyejukan cecair sambil sistem bahan api menggunakan sistem suntikan pintar BOSCH EFI untuk pembakaran optimum.
Model ini mampu menjana kuasa maksimum sehingg 25.5 hp daripada 8,250 rpm dan tork maksimum sehingga 23 Nm pada 6,500 rpm. Model ini menggunakan transmisi CVT dengan pacuan tali sawat dan ia turut dipadankan dengan ciri keselamatan seperti sistem brek cakera depan dan belakang lengkap dengan Dual Channel ABS sambil traction control mencegah kegelinciran tayar dari aspek keselamatan.
Selain tampil dengan empat perbezaan berbanding model standard, kepada penunggang yang menginginkan kelainan daripada Nova 250 standard Nova 250 G Elite Edition ditawarkan pada harga RM14,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Pengenalan edisi eksklusif bersempena dengan pembukaan ini turut mencerminkan kerjasama antara Aveta Malaysia dan G Elite dalam menyediakan tawaran istimewa kepada pelanggan, di samping mengukuhkan kehadiran jenama dalam pasaran motosikal tempatan.