“Belum cuba, belum tahu…” memang tepat pepatah tersebut. Diluar jangkaan. Sebelum menunggang pelbagai bermain dalam pemikiran, motor ini mesti tinggi, sakit dada bila bawa laju, lenguh kerana bar agak menjunam ke depan.
Rupa-rupanya segala yang berlegar di dalam pemikiran saya sebelum menunggang motor ini ternyata jauh dari apa yang dirasakan ketika menunggangnya. Agak terkejut dengan apa yang saya rasai semasa menunggang jentera ini dan hati berkata, “pihak Kawasaki berjaya memikat peminat motor naked Malaysia.”
Z 1000 (2014) ini mengekalkan beberapa komponen sama seperti keluaran model-model siri Z 1000 yang lepas, cuma kalau diperhatikan betul-betul model ini agak pendek (Short Wheel Base) dari 2 model siri Z 1000 keluaran yang lepas. Memperlihatkan lagi model Z 1000 keluaran kali ini seakan-akan ke arah “Sports Touring”. Ianya merupakan kelebihan yang nyata akan memikat lagi hati peminat naked siri 1000cc yang menginginkan motor yang menjurus kearah kelainan, walaupun motor ini berkategori Naked.
Wheel Base yang pendek ini merupakan salah satu ciri memudahkan lagi motor ini digunakan ketika mengambil selekoh yang tajam atau selekoh yang pendek di tahap kelajuan yang maksimum mahupun kelajuan sederhana maksimum. Pengalaman sendiri menunggang dan mengambil selekoh yang sederhana tajam di tahap kelajuan 120 km/j tanpa rasa ragu dan takut memberikan satu inspirasi, inilah “Naked” yang paling sesuai untuk digunakan di dalam trek.
Saiz Z 1000 ini membuatkan ianya mudah untuk dikawal dalam apa jua keadaan. Dalam trafik yang sesak, saya cuba dengan keadaan Gear 3, sementara dipanel Digital Meter menunjukkan kelajuan 30km/j, ternyata ianya sungguh menakjubkan dan tidak langsung terasa enjin tersangkut-sangkut, malahan tidak perlu untuk menarik klac bagi meringankan bebanan enjin semasa situasi tersebut. Pergerakkan enjin lancar seperti tidak berada di dalam kesesakkan. Ini merupakan satu advantage kepada penunggang agar tidak perlu merasa stress dan memikirkan tentang kekerapan pengunaan klac serta menukar gear apabila berada dalam keadaan trafik yang sesak. Bentuk bodynya yang slim dan wheel Base yang pendek, merupakan satu kelebihan sepertimana motosikal kapcai mempunyai ruang untuk mencelah, sudah semestinya model Z 1000 ini berkeupayaan juga melepasinya.
Penggunaan cermin sisi berbentuk “Diamond” menambahkan lagi keserian motor ini. Saiz cermin sisi yang tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil lebih memudahkan penunggang untuk mengubahnya mengikut kesesuaian semasa menunggang. Sentuhan dihujung jari sudah memadai. Dengan saiz yang sebegitu ianya memudahkan penunggang untuk mencelah semasa kesesakan trafik tanpa memikirkan cermin tersebut akan berlaga dengan cermin sisi kereta.
Sekilas pandang, keadaan bar pemegang yang agak menjunam sudah tentu penunggang terpaksa membongkok dan lenguh apabila menunggangnya. Ternyata tanggapan ini jauh meleset kerana kedudukan tangki minyaknya yang agak tinggi melebihi paras pusat penunggang serta ditambah dengan pelana depannya yang sedikit ke dalam atau ke bawah dan saya istilahkan motor ini sebagai “duduk dalam motor.”
Ciri-ciri ini teramat sesuai kepada peminat ataupun penunggang yang inginkan keselesaan serta menghadapi masalah ketinggian. Dengan terdapatnya ciri-ciri ini penunggang cukup mudah untuk mengendalikan motor ketika mengambil selekoh mahupun ketika mencelah. Begitu juga ketika terperangkap dalam keadaan trafik yang sesak, seolah-olah terlupa yang model ini beratnya 220kg.
Tayar yang bersaiz 120/70/17 di hadapan dan 190/50/17 di belakang memberikan cengkaman yang tidak meragukan. Pengalaman menunggang sejauh 1260km selama 3 hari serta menempuh pelbagai keadaan cuaca dan situasi seperti hujan lebat, panas terik dan juga menyusuri jalan-jalan yang berliku membuktikan kesesuaian saiz tayar dan motor ini amat tepat sekali.
Keunikan model ini terserlah dengan kedudukan lampu hadapan yang teramat ketara sekali kelainan reka bentuknya. ‘Lipan Hitam’, ‘Semut Hitam’ itulah panggilan yang kedengaran di telinga saya semasa singgah di pelbagai destinasi ketika menunggang motor ini. Penggunaan lampu LED memang menakjubkan. Menunggang di waktu malam sejauh 250km telah saya lakukan pada motor ini. Terasa amat berpuashati tentang pancaran dan jangkauan cahaya dari lampu hadapan. Saya juga terpaksa menempuh hujan yang teramat lebat sekitar 5 km di waktu malam. Penglihatan tidak terganggu langsung dengan sinaran pancaran dari lampu LED motor tersebut.
Digital panel meter yang ringkas tetapi cukup lumayan. Penunggang dengan senang dapat mengagak sendiri tanpa melihat ke arah meter tentang kekuatan rpm enjin semasa menukar ataupun menyesuaikan 6 gear di pelbagai situasi. Ini kerana terdapat dua perbezaan warna yang akan dipaparkan di Digital Panel Meter. 1000rpm hingga 3000rpm warna hitam biasa sahaja dengan keadaan menegak. Tetapi apabila 4000rpm ke atas cahaya berwarna putih akan kelihatan di Panel Digital Meter dengan kedudukan melintang. Keunikan motor ini juga ialah pengiraan kelajuan (Odometer) diambil kira dari pusingan tayar belakang.
Suspensi depan berukuran 41mm SFF-BP yang dilengkapi dengan penekanan kemampatan dan damper kawalan lantunan yang boleh diubahsuai kelembutan atau kekerasan suspensi depan tersebut mengikut kesesuaian penunggang. Perbezaan antara suspensi depan dan belakang tidaklah banyak cuma suspensi belakang mengunakan kuasa gas. Dan yang lain adalah sama dengan ciri-ciri suspensi depan.
Pengunaan dua cakera separa beralun, 4 piston berukuran 310mm merupakan sistem brek roda depan. Sementara sistem brek belakang mengunakkan cakera tunggal berukuran 250mm 1 piston. Kepada mereka yang baru berjinak dengan model naked 1000cc dan khasnya buat lady biker yang tidak mendambakan kelajuan maksimum atau agresif, Kawasaki Z 1000 model 2014 ini merupakan pilihan yang tepat.
Kenapa saya berkata begitu? Jawapannya ialah walaupun berkuasa kuda 1000cc tetapi jentera ini teramat ringan, ditambah pula ketinggian pelana hanya 815mm. Maka faktor ketinggian tidak menjadi masalah bagi mereka yang berketinggian “5.5” ke bawah. Kelajuan santai yang paling selesa pula adalah 150km/j. Ini sudah cukup memadai. Walaupun jentera ini mampu mencapai 200km/j atau lebih sekiranya di lebuhraya.
Penjimatan bahan bakar memang cukup menakjubkan, minyak bagi setangki penuh hanyalah 17 liter. Saya telah mengujinya dengan memecut pada kelajuan 160km/j sehinggalah amaran minyak berkurangan terpapar di digital panel meter, sukar dipercayai minyak sebanyak 17 liter mampu untuk harungi sejauh 290km dengan pecutan sedemikian.
Kawasaki Z 1000
Spesifikasi
Enjin : 1,043cc, 4 silinder selari, Dohc, penyejukan cecair
Transmisi : Enam kelajuan, Klac basah, pacuan rantai
Kuasa Maksima : 104.5kw (142PS)/10,000rpm
Tork Maksimum : 111Nm/7,300rpm
Brek : 2 Cakera Petal separa beralun(Floating Disc) 310mm,
4 piston(hadapan),Cakera Tunggal 250mm petal,1 piston
(belakang)
Berat : 220kg
Kapasiti Tangki : 17 liter
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 7