Kapcai Pertama Dengan Sistem ABS

MForce Bike Holdings, pengeluar motosikal pelbagai jenama dari Taiwan, hari ini mengorak langkah memperkenalkan versi terbaharunya iaitu SYM VF3i 185 LE yang dilengkapi dengan sistem brek anti kunci (ABS). Umumnya mengetahui bahawa jentera SYM VF3i terkenal dengan reputasi sebagai sebuah kapcai premium berkapasiti enjin terbesar di antara supermoped sedia ada yang mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Pengurus Besar Operasi MForce Bike Holdings, SYM VF3i 185 LE, Asri Ahmad ini merupakan model yang telah dinaiktaraf daripada versi sebelumnya (model SYM VF3i bagi Versi 1 dan 2) berdasarkan maklumbalas pemilik dan peminat motosikal tempatan.

 

Versi baharu ini menawarkan enjin yang lebih berkuasa melalui beberapa penambahbaikan pada beberapa komponen enjin, antaranya badan pendikit yang bersaiz 30mm untuk memberikan respon yang lebih baik ketika menunggang.

SYM VF3i 185 LE ini dijana oleh enjin empat lejang 183cc penyejukan cecair dengan kuasa 19.7hp pada 9,000rpm dan 17.4Nm tork pada 7,500rpm berbanding daripada model sebelumnya. Enjin suntikan bahan api ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan turut menerima penarafan emisi EURO 3.

Dari penampilan, cahaya DRL yang terang dan lampu belakang LED telah dipertingkatkan untuk tujuan keselamatan. SYM VF3i 185 LE kini hadir dengan speedometer dengan reka bentuk yang bergaya baru dengan kombinasi pemeriksaan minyak enjin, suhu enjin, kuasa bateri jam dan sistem ABS.

Selain itu, versi baharu ini turut ditambahkan dengan visor hadapan aerodinamik yang membantu penunggang untuk mengurangkan rintangan angin dan meningkatkan keseimbangan semasa menunggang. SYM VF3i 185 LE ini dilengkapi dengan sistem ABS – cakera hadapan tunggal berdiameter 250mm dan cakera tunggal 200 mm di bahagian belakang – dipasang pada roda 17 inci dengan saiz tayar 90/80 pada bahagian hadapan dan 120/70 pada bahagian belakang.

Berat keseluruhan 124 kg dan bahan bakar dibawa dalam tangki 7 liter, yang kini merupakan tangki bahan bakar terbesar untuk kategori kapcai. SYM VF3i 185 LE hadir dengan warna baru yang berwarna “Hitam Matt” dan pada tag harga RM9,338.00. Mforce Bike Holdings juga menawarkan jaminan pengeluar dua tahun atau jarak tempoh 20,000 kilometer (mana yang lebih dahulu) untuk model ini.

Spesifikasi Teknikal
Jenis Enjin

SOHC, 4 Lejang, Silinder Tunggal,
Sejukan Cecair
Gerek & Lejang : 63.5 x 57.8 mm
Sesaran : 183 c.c.
Kuasa Kuda Maksimum : 14.7 kW pada 9,000 r/min
Tork Maksimum : 17.4 Nm pada 7,500 r/min
Nisbah Mampatan : 11.1:1
Transmisi : 6 – Kelajuan
Minyak Pelincir : Pelincir Daya
Jenis Klac : Basah, Cakera Berbilang
Sistem Bahan Api : Suntikan Bahan Api Elektronik
Pematuhan EURO 3
Sistem Penghidup : Penghidup Elektrik
Sistem Pencucuh : Full Transistor Ignition
Suspensi Hadapan : Cabang Teleskopik
Suspensi Belakang : Suspensi Tunggal dengan Gegelung
Spring Teleskopik
Brek Hadapan : Cakera Tunggal 250mm
Brek Belakang : Cakera Tunggal 200mm
Tayar Hadapan : 90/80- 17 (Tanpa Tiub)
Tayar Belakang : 120/70-17 (Tanpa Tiub)
Jarak Roda : 1290 mm
Kelegaan Tanah : 150 mm
Berat : 124 Kg
Kapasiti Bahan Api: 7 Liter