Jalan Desa Mahupun Bandar, Multistrada Tetap Menyeronokkan


Pertama kali melihat fizikal motosikal ini, saya tertanya-tanya adakah ia mudah untuk dikendalikan. Ini kerana saiznya nampak besar dan tinggi. Sebagai sebuah Ducati, sudah tentu ia amat berkuasa. Selepas menghidupkan enjin dengan kunci masih berada di dalam poket (jentera ini menggunakan sistem tanpa kunci) dan mula bergerak, saya mendapati ia sebenarnya tidaklah seperti yang dilihat secara mata kasar. Ducati Multistrada rupa-rupanya tidak begitu sukar untuk dikendalikan.

Oleh kerana motosikal ini diterima pada hari bekerja dan bukannya hari minggu, saya berpeluang mengujinya dalam kesesakan jalan raya di bandar. Pada mulanya, Ducati Multistrada berada dalam mod ‘Sport’. Maksudnya, kuasa maksimum yang boleh dihamburnya mampu mencapai 150hp. Tarikan kuasanya amat kuat dan saya merasakan mod ini kurang sesuai kerana ia menjadikan jentera tersebut terlalu agresif.

Dengan sedikit pulasan pada pendikit minyak, motosikal ini pantas bergerak. Pada kedudukan gear satu, sekiranya anda memulas pendikit sehingga habis dengan serta-merta, bahagian hadapannya akan mudah terangkat. Kebanyakan motosikal berkapasiti lebih 1,200cc sememangnya memiliki karekter begitu.

Saya beralih kepada mod ‘Urban’ yang berfungsi menghadkan kuasa enjin kepada 100hp sahaja. Tunggangan menjadi lebih lancar dan mudah. Penarik klac menjadi tidak terlalu keras sehingga melenguhkan tangan. Penukaran mod boleh dilakukan dengan mudah melalui butang yang ada pada bahagian kiri hendal. Secara keseluruhannya, jentera ini menawarkan empat mod tunggangan iaitu Sport, Urban, Enduro dan Touring.

Percaya atau tidak, peralihan mod tunggangan boleh dilakukan semasa bergerak. Dengan syarat pendikit dan brek harus dilepaskan. Selain itu, penunggang juga boleh melaras ketinggian suspensi belakang menerusi sistem elektronik yang menyediakan empat pilihan. Penunggang seorang, seorang dengan barang, dua orang (penunggang dan pembonceng) serta dua orang bersama barang.

Untuk makluman, nama Multistrada sebenarnya bermaksud ‘pelbagai jalan’ dalam bahasa Itali. Di tangan Ducati, nama itu kemudian diterjemah menjadi sebuah motosikal yang menggabungkan karekter sebuah motosikal supermoto dan sport touring pada awal penciptaan model Multistrada.

Antara ciri supermoto yang ada pada Multistrada adalah posisi tunggangan yang menegak. Posisi sebegitu menawarkan jarak penglihatan lebih baik, lincah, penuh kuasa dan mudah untuk dikendalikan. Untuk model Multistrada 1200S, ia dilengkapi dengan sistem suspensi Ducati Skyhook (DSS) yang boleh melaras tekanan penyerap hentak secara automatik mengikut kondisi jalan.

Ia seterusnya memberikan lebih keyakinan, keselesaan serta kestabilan kepada penunggang dan motosikal., terutama semasa di selekoh dan di atas jalan yang tidak rata. Ciri ini nyata membuatkan Multistrada 1200S seronok ditunggang di laluan bandar walaupun fizikalnya kelihatan besar.

Multistrada 1200S turut dipasang dengan pelbagai sistem keselamatan lain termasuklah Ducati Traction Control (DTC) dan brek anti kunci (ABS). Memasuki jalan lebih terbuka di lebuh raya, kualiti tunggangan yang disediakan oleh Multistrada 1200S semakin mengujakan. Jika penunggang cukup yakin, jentera ini boleh dikerah sehingga mencecah kelajuan lebih 200km/j dan kekal stabil.

Kedudukan tunggangan yang tegak, ditambah dengan penghadang angin yang boleh dilaras pada bahagian hadapan memberi lebih keselesaan ketika mengharung perjalanan jarak jauh. Buktinya, saya hanya berhenti sebanyak dua kali sahaja untuk mengisi minyak sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru. Dengan isian sebanyak RM28 (14.73 liter), saya mampu mencatat perjalanan sejauh 174km dari Sungai Besi ke Tapah dalam satu sesi perjalanan yang lainnya.

Saya harus akui kurang memahami tentang tarikan model sebegini. Dari segi penampilan, walaupun Ducati memiliki seni rekaan tersendiri, ia hampir sama sahaja seperti motosikal touring lain. Namun, selepas meluangkan masa beberapa hari bersama Multistrada 1200S, saya semakin tertarik dengannya. Jentera penuh kuasa ini mudah ditunggang ke mana-mana sahaja.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 1