CFMOTO Malaysia mencuri perhatian pengunjung ketika bahang Kejuaraan Motosikal Dunia MotoGP berlangsung di Litar Sepang apabila melancarkan model terbaharu mereka, CFMOTO 250SR Lite. Meletakkan inspirasi dari gaya dan penampilan pasukan Aspar MotoGP, jentera ini dilihat cukup sesuai bagi mereka yang sukakan dengan prestasi tinggi dan kelajuan maksima sesuatu yang cukup sinonim dengan kehendak penunggang muda.
Dikuasakan oleh enjin silinder tunggal, 4-lejang, DOHC, penyejukan cecair, dengan sesaran 249 cc, CFMOTO 250SR Lite mampu menjana kuasa maksimum 20.5 kW pada 9,750 rpm dan tork maksimum 22 N·m pada 7,250 rpm, menjanjikan prestasi bertenaga sama ada di jalan bandar mahupun lebuh raya.
Enjin ini menampilkan nisbah mampatan 11.3:1 serta ukuran piston dan lejang 72 mm × 61.2 mm, digandingkan dengan sistem suntikan bahan api EFI untuk pembakaran lebih bersih dan efisien. Dilengkapi klac gelincir berbilang plat jenis basah, ia memastikan penukaran gear yang lancar dan mengurangkan kesan hentakan roda belakang ketika downshift secara agresif.
Dari segi pengendalian, CFMOTO 250SR Lite menggunakan sistem suspensi fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak tunggal di belakang, masing-masing dengan jarak gerak 120 mm (hadapan) dan 40 mm (belakang) untuk kestabilan maksimum.
Sistem membrek pula terdiri daripada cakera tunggal 292 mm dengan angkup dwi-piston di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup tunggal di belakang, disokong oleh sistem ABS dwi-saluran bagi memastikan keselamatan optimum ketika membrek dalam pelbagai keadaan jalan.
Model ini dilengkapi dengan tayar hadapan 110/70-R17 dan tayar belakang 140/60-R17, kedua-duanya jenis tanpa tiub, dipadankan dengan rim aloi aluminium 17 inci yang ringan dan kukuh. Dari aspek dimensi, CFMOTO 250SR Lite berukuran 2,010 mm panjang, 750 mm lebar dan 1,080 mm tinggi, dengan jarak roda 1,360 mm, ketinggian tempat duduk 780 mm dan kelegaan tanah 135 mm.
Berat keseluruhan adalah 165 kg menjadikannya ringan dan lincah untuk dikendalikan. Tangki bahan api berkapasiti 12liter memberikan jarak tunggangan yang mencukupi untuk perjalanan jarak jauh tanpa henti kerap.
Ciri-ciri moden turut melengkapkan model ini, termasuk paparan meter digital, port pengecasan USB Jenis-A dan Jenis-C serta sistem lampu sepenuhnya jenis LED meliputi lampu utama, isyarat membelok, lampu kecemasan dan lampu belakang.
Reka bentuknya menampilkan konsep karbon yang sporty dan moden, manakala cermin pelindung angin yang tebal meningkatkan perlindungan aerodinamik ketika menunggang laju. Bahagian ekzos direka dengan gaya sporty, seiring dengan penampilan keseluruhan motosikal yang menyerlahkan penampilan CFMOTO.
Ditawarkan pada harga RM9,988.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), CFMOTO 250SR Lite kini boleh dimiliki di semua pengedar sah CFMOTO di seluruh Malaysia. Model ini hadir dengan tiga pilihan warna bergaya iaitu Nebula Black, Gem Black dan Zephyr Blue, menggambarkan personaliti muda, moden dan berani di jalan raya.
Untuk info bakal pemilik, setiap pembelian CFMOTO 250SR Lite, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.
Spesifikasi CFMoto 250SR Lite
Enjin Silinder Tunggal, 4-lejang, Penyejukan Cecair, DOHC
Sesaran 249cc
Bore X Lejang 72 x 61.2
Kuasa Maksimum 20.5kW x 9,750 rpm
Tork Maksimum 22 Nm x 7,250 rpm
Nisbah Ratio 11.3:1
Sistem Pembakaran EFI
Jenis Klac Plat Jenis Basah, Berbilang bahagian, klac gelincir
Kerangka Steel Tube
Suspensi Depan Forks Teleskopik
Suspensi Belakang Monoshock
Brek Depan Cakera Tunggal, Kaliper Pistons Berkembar
Brek Belakang Cakera Tunggal, Kaliper Pistons Tunggal
Tayar Depan 110/70-R17
Tayar Belakang 140/60-R17
Rim Aloy Aluminium, 17MT
Jenis Roda Depan Sport Rim
Jenis Roda Belakang Sport Rim
Jenis Tukaran Gear 6 gear
Panjang x Lebar x Tinggi 2,010 x 750 x 1,080
Ketinggian Tempat Duduk 780mm
Jarak Roda 1,360mm
Kelegaan Bumi 135mm
ABS Dua Saluran
Lampu Depan LED + DRL
Lampu Belakang
/ Lampu Signal LED
USB Type-A & Type-C
Paparan Meter Digital
Pilihan Warna Zephyr Blue, Nebula Black dan Gem Black