Hitam Dan Putih Sertai Barisan Warna Baharu, Menjadikan BeAT Lebih Moden Dan Bergaya Di Jalanan

Skuter Honda BeAT terus mengekalkan kedudukannya sebagai pilihan popular dalam segmen skuter ringan di Malaysia, dan kini hadir dengan penampilan baharu untuk tahun 2025. Dua warna baharu iaitu Hitam dan Putih telah diperkenalkan. Sementara Matte Silver dan Hijau dikekalkan daripada barisan sebelum ini. Warna Merah dan Biru pula digugurkan, menjadikan palet warna BeAT kini tampil lebih segar dan moden. Harga jualan disyorkan kekal pada RM6,090 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km terhadap kecacatan pengilangan.

Dikuasakan enjin satu silinder 108.2cc penyejukan udara, BeAT mampu menghasilkan 8.67 hp pada 7,500 rpm dan 9.53 Nm tork pada 5,500 rpm. Kuasa ini disalurkan ke tayar belakang menerusi transmisi CVT dan sistem pacuan tali sawat, sesuai dengan karakter skuter harian yang ringan dan praktikal. Prestasi ini cukup memadai untuk kegunaan dalam bandar, dengan penghantaran kuasa yang lancar dan penggunaan bahan api yang efisien.

Bahagian casisnya menampilkan rim 14 inci yang dipadankan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang. Sistem membrek terdiri daripada cakera hidraulik di hadapan dan brek dram mekanikal di belakang, disokong sistem Combined Braking System (CBS) untuk kawalan yang lebih seimbang. Suspensi menggunakan fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak tunggal tanpa larasan di belakang, memberikan tunggangan yang selesa untuk kegunaan harian.

Dari segi praktikaliti, BeAT dilengkapi tangki bahan api 4.2 liter dan ruang simpanan bawah tempat duduk 11.7 liter, cukup luas untuk menyimpan barangan harian atau topi keledar separuh. Ketinggian tempat duduk 742 mm dan berat hanya 90 kg menjadikannya mudah dikendalikan oleh pelbagai lapisan penunggang, termasuk penunggang baharu. Sistem penghidup elektrik dan tendang disertakan sebagai standard, manakala kluster instrumen gabungan analog dan digital memaparkan maklumat penting termasuk voltmeter.

Turut melengkapkan ciri praktikalnya ialah port pengecas terbina dalam serta kunci brek parkir, memberikan kemudahan tambahan ketika berhenti. Dengan pakej serba lengkap ini, Honda BeAT 2025 tampil sebagai pilihan ideal untuk mereka yang mencari skuter harian bergaya, ringan dan ekonomik, kini dengan pilihan warna yang lebih segar dan menonjol di jalan raya.