Kelab RSX Northern Official telah berjaya menganjurkan konvoi santai Ride Explore Pahang pada 6 hingga 8 November 2026 lalu. Pengembaraan sejauh 1,300 kilometer secara keseluruhan ini menghimpunkan seramai 32 orang peserta yang menunggang sebanyak 22 buah motosikal, merangkumi 20 buah jentera Honda RSX dan dua buah skuter Zontes 368E.
Tirai perjalanan hari pertama (6 November) dimulakan dengan sesi menjamu selera di Nasi Bamboo sebelum konvoi meneruskan tunggangan ke destinasi utama iaitu Genting Highlands bagi merakam kenangan dalam suasana sejuk dan berkabus. Selesai menikmati udara tanah tinggi, rombongan meneruskan perjalanan ke Lemang To’ki sebelum mendaftar masuk ke hotel penginapan di Bentong.
Memasuki hari kedua pada 7 November, para peserta bersarapan di Bentong seawal jam 8.00 pagi sebelum bergerak menuju ke Bukit Tinggi untuk berehat dan bergambar. Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Cameron Highlands melalui laluan Sungai Koyan. Setibanya di Tanah Rata, konvoi diraikan dengan jemputan makan percuma yang menyajikan pelbagai menu selera utara di Adeq Korner Tanah Rata sebelum bergerak ke homestay bagi acara bebas pada sebelah malam.
Pada hari terakhir, aktiviti dimulakan jam 10.00 pagi dengan kunjungan ke ladang teh untuk minum santai serta sesi bergambar. Menjelang jam 12.00 tengah hari, rombongan sekali lagi menerima jemputan menikmati hidangan selera utara yang cukup menyelerakan di Warisan Pak Lang Sup Utara, bertempat di lot rumah kedai Pasar Malam Brinchang, sebelum singgah sebentar di Kea Farm dan bertolak pulang.
Sepanjang pengembaraan merentasi laluan berbukit dan selekoh mencabar, tahap kecergasan para penunggang kekal bertenaga dengan bekalan Kopi Radix keluaran HPA Internasional. Kelancaran jentera pula disokong oleh penggunaan minyak enjin EXN serta cengkaman tayar daripada Duro Malaysia yang memberikan keyakinan penuh ketika mengambil selekoh sama ada di atas permukaan jalan kering mahupun basah.
Secara keseluruhannya, kesemua peserta berjaya menamatkan konvoi sejauh 1,300 kilometer ini dan selamat pulang ke destinasi masing-masing tanpa sebarang masalah. Pihak penganjur turut merakamkan jutaan terima kasih kepada barisan penaja yang menjayakan program ini iaitu 99Xproject, EXN, Duro Malaysia, HPA Internasional, EKS, Ban Chu Hin, dan Unifi.