Bapak Rayqal… Berjuang Bersama XYC400 Classic Demi Anak Autisme!

Menunggang sebuah motosikal CMC XY400 Classis, petang itu saya berpeluang bertemu Mohd Shaiful Rizal Mohd Said atau lebih dikenali sebagai Boy di kalangan rider Ipoh. Selain meminati aktiviti bermotor, Boy juga aktif melibatkan diri dalam aktiviti NGO sekitar negeri Perak. Di sebalik raut wajah yang tenang dan diselang-seli senyuman bersama motor gagahnya, ada seribu satu kisah. Kecekalan seorang ayah di mana cahaya matanya merupakan seorang anak autisme.

Sebelum itu, saya memohon agar ruang yang sedikit ini diberikan kepada Boy dalam membantu usaha serta niat murninya untuk menyebarkan kesedaran tentang autisme. Anda mungkin akan bertanya, “alah, bukan cerita tentang motor pun…”

Ya. Ini bukan semata-mata untuk motor tetapi juga kisah perjuangan seorang ayah yang ingin orang di sekeliling bukan sahaja mengetahui tetapi juga memahami masalah dihadapi golongan anak-anak autisme. Autisme bukan hanya satu tetapi beberapa situasi berlainan bergantung kepada spektrum dihidapi oleh seseorang. Autisme atau gangguan spektrum autisme (ASD), merujuk kepada pelbagai keadaan yang dicirikan oleh cabaran dengan kemahiran sosial, tingkah laku berulang, pertuturan dan juga komunikasi non-verbal.

Boy bukan sahaja menunggang untuk suka-suka sebaliknya turut berusaha memberi lebih informasi kepada masyarakat tentang autisme yang saya akui masih kurang diketahui oleh orang ramai. Atau mungkin juga, ramai yang memilih tidak mahu ambil peduli. Pahit tetapi itulah hakikatnya.

Menurut Boy, satu kesedaran tentang autisme boleh disampaikan secara lisan. “Suara aku sampai ke halwa telinga orang. Normalnya, bila ride dan stop di traffic light, kedai makan, petrol pump akan ada satu ayat atau dua tiga soalan yang biasa orang tanya.”

“Cun la motor abang… Cat kat mana? Nama apa ni? Gambar siapa ni?”

Pertanyaan itu merujuk kepada tangki motor Boy yang sangat unik dengan lakaran gambar diperhalusi dengan kekemasan cat khas.

“Ini potret anak saya, Rayqal. Dia anak autisme.”

Adakalanya, ada yang sempat membalas ringkas “bagus” sahaja dan Boy akan membalas, “thank you support Autism.”

Jika di stesen minyak atau kedai makan, ada lebih banyak masa dan ruang untuk menceritakan lebih lanjut tentang autisme. Tujuannya tiada lain, hanya untuk menyebarkan kesedaran tentang autisme. Biarpun sedikit. Sekurang-kurangnya, tugasnya untuk mendidik masyarakat tentang golongan anak-anak istimewa ini terlaksana. Asas untuk masyarakat umum mengenali dan mengetahui autisme ini adalah dengan memahami dunia mereka. Dunia anak-anak syurga ini yang jauh berbeza.

Menurut Boy lagi, tidak dinafikan yang motor miliknya itu menjadi perhatian kerana sentuhan kesenian di bahagian tangki petrol hasil kerja Iwan Fuzzy Wuzzy yang juga pereka hasil seni ini. Bagi Boy, tracker custom itu memang minat dan kegemaran sejati tetapi autisme itu adalah perjuangan yang tidak akan selesai.

Selepas ini, jika anda berjumpa dengan anak-anak autisme… janganlah hanya memandang mereka sebagai kanak-kanak istimewa, sebaliknya cuba fahami situasi mereka. Boleh?