Azroy Ulang Kemenangan di Terengganu

Azroy Ulang Kemenangan di Terengganu

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Permotoran Terengganu telah melabuhkan tirainya dengan penuh aksi. Pusingan ke-6 bagi musim ini menyaksikan pelumba HONDA ESTREMO YUZY RACING, Azroy Hakeem Anuar, mengulangi kejayaan gemilangnya dengan meraih kemenangan dalam kategori CP150.

Sebelum perlumbaan akhir bermula, Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mencatatkan masa terpantas 48:409s dalam sesi “Super-Pole,” sekali gus memastikan kedudukan grid pertama. Azroy Hakeem mengikuti rapat di petak kedua dengan catatan masa 48:767s, manakala Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing menempah petak ketiga dengan masa 48:899s.

Perlumbaan akhir bermula dengan sengit apabila Afif dan Akid segera menguasai kedudukan hadapan, dengan Azroy mengekorinya di P3. Dalam pusingan ke-4, Azroy berjaya memintas, namun Akid tidak membiarkan kedudukannya dirampas begitu sahaja, kembali memimpin perlumbaan.

Aksi dramatik ini berterusan sehingga ke pusingan ke-19, apabila Azroy akhirnya berjaya memintas Akid sekali lagi dan memecut meninggalkannya. Azroy melintasi garisan penamat dengan masa 16’20:880s, meraih kemenangan yang manis. Akid terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan masa 16’22:324s, manakala Afif menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 16’26:933s.

Dengan kemenangan ini, Azroy terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara pelumba terbaik dalam kejuaraan ini, sekaligus meningkatkan persaingan yang lebih sengit dalam pusingan-pusingan seterusnya.

Hatrik Untuk Izam Di Terengganu

Perlumbaan pusingan ke-6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Permotoran Terengganu menjadi saksi kepada kemenangan hatrik yang menakjubkan oleh pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Izam Ikmal Izamli dalam kategori CP125.

Sesi “Shoot Out” yang mendebarkan menyaksikan Izam meraih kedudukan pole position dengan catatan masa terpantas 50:574s, memberikan kelebihan awal kepada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing. Di petak kedua adalah pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Md Syamil Amsyar Md Iffende dengan masa 50:951s, manakala Danial Johan dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team berada di petak ketiga dengan catatan masa 51:172s.

Perlumbaan bermula dengan Syamil segera menguasai kedudukan teratas, diikuti rapat oleh Danial, manakala Izam berada di P3. Persaingan semakin sengit apabila Izam memintas kedua-dua pelumba di hadapan, menduduki P1 pada pusingan ke-4.

Di pusingan ke-9, Md Afizi Supaat dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team berjaya memintas Syamil untuk menduduki P2, disusuli oleh rakan sepasukannya, Danial, yang turut memintas Syamil untuk merebut P3. Situasi ini membawa kepada pertarungan sengit antara Izam dan Afizi, di mana kedua-dua pelumba meninggalkan pesaing lain sekurang-kurangnya 3 saat di belakang mereka.

Memasuki pusingan terakhir, Izam menunjukkan kemahiran dan ketenangan dengan meningkatkan pecutannya, sekaligus melintasi garisan penamat dengan masa 12’53:462s, menamatkan perlumbaan di tempat pertama. Afizi meraih tempat kedua dengan masa 12’55:130s, manakala Syamil kembali bangkit untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 12’59:452s.

Kemenangan hatrik Izam dalam pusingan kali ini tidak hanya mengukuhkan kedudukannya di puncak, tetapi juga memperlihatkan dominasi yang konsisten oleh pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dalam kategori CP125.

Adib Kuasai Wira KBS

Pusingan ke-6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu menyaksikan pelumba YAMAHA ESTREMO 27 RACING, Md Adib Arsyad Md Hisam, mendominasi perlumbaan kategori Wira KBS dengan gaya yang meyakinkan.

Perlumbaan bermula dengan penuh sengit apabila pelumba BROTHERS 7 TECH RACING, Md Aiman Md Hafis, mengambil alih kedudukan teratas seawal pusingan pertama. Namun, tidak lama kemudian, beliau dipintas oleh Farres Putra Md Fadhill dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, yang kemudiannya mendahului perlumbaan. Sementara itu, Md Akif Abdullah dari pasukan HONDA KC Racing mengekor rapat di belakang mereka.

Memasuki pusingan ke-10, Adib yang berada di kedudukan kedua mula menunjukkan taringnya. Dengan penuh keyakinan, Adib memintas Farres dan terus memecut laju, meninggalkan pelumba lain di belakang. Tekanan semakin meningkat apabila Akif dan Aiman juga cuba mengekori rapat di belakang Adib, berusaha untuk mengekalkan peluang mereka dalam perlumbaan ini.

Pada pusingan terakhir, Akif berjaya memintas Farres untuk merebut kedudukan kedua dan mula mengancam kedudukan Adib di hadapan. Di masa yang sama, Aiman yang berada di belakang Farres berusaha keras untuk mencari ruang bagi memintas, tetapi malangnya terjatuh di selekoh ketiga, mengakhiri harapannya untuk berada di podium.

Akhirnya, Adib berjaya menamatkan perlumbaan dengan masa 10’35:457s, meraih kemenangan yang amat bermakna. Akif terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan masa 10’36:460s, manakala Farres melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan masa 10’36:565s.

Kejayaan Adib dalam perlumbaan ini bukan sahaja menunjukkan kemampuannya sebagai pelumba berbakat tetapi juga menegaskan dominasi pasukan YAMAHA ESTREMO 27 RACING dalam kategori Wira KBS pada musim ini.