Lintasan zebra atau ramai lebih selesa dan kenal sebagai zebra crossing ini bukan sekadar garisan putih mahupun kuning yang ada di atas jalan. Ia ialah ruang yang sepatutnya selamat untuk pejalan kaki. Malangnya, ruang ini semakin kerap diabaikan oleh pengguna jalan raya. Pernah tak anda berdiri di tepi lintasan zebra dan menunggu untuk melintas tetapi pemandu buat-buat tak nampak?
Atau, anda sebagai pemandu dan penunggang motosikal rasa alah setiap kali menghampiri kawasan ini. Malah, tidak menghiraukan pejalan kaki yang sudah pun berada di tengah-tengah lintasan zebra untuk ke seberang jalan. Tidak hairanlah, statistik kes harian menunjukkan masih ramai pejalan kaki terdedah kepada risiko dilanggar. Bukan kerana mereka cuai, tetapi kerana sikap sambil lewa pemandu dan penunggang.
Apa yang lebih membimbangkan, peraturan sedia ada sudah jelas menetapkan bahawa pejalan kaki yang berada di atas lintasan zebra wajib diberi laluan. Namun, ramai yang seolah-olah lupa atau sengaja buat tak tahu. Hakikatnya, kita semua adalah pejalan kaki. Tapi tidak semua orang itu pemandu atau penunggang motosikal. Jadi, tidak salah kalau dikatakan bahawa kita semua pernah berada dalam kedua-dua situasi sebagai pemandu yang perlu beri laluan, dan sebagai pejalan kaki yang menunggu untuk melintas.
Di Malaysia, terdapat dua jenis lintasan zebra yang biasa dilihat. Warna putih dan kuning. Lintasan bergaris putih lazimnya terletak di kawasan yang dikawal, seperti berhampiran lampu isyarat atau sekolah. Jika pejalan kaki berada di atas lintasan ini, pemandu atau penunggang wajib berhenti dan beri laluan. Manakala lintasan kuning pula biasanya ditemui di kawasan tanpa kawalan isyarat. Dalam keadaan ini, pejalan kaki perlu memastikan keadaan selamat sebelum melintas. Namun jika mereka sudah berada di atas lintasan, kenderaan masih perlu memperlahankan kenderaan dan beri laluan.
Peraturan mengenai lintasan pejalan kaki turut diperincikan dalam Kaedah 37 dan Kaedah 45, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, serta disokong oleh Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ia menyatakan dengan jelas bahawa kenderaan wajib berhenti dan memberi laluan jika terdapat pejalan kaki yang sedang melintas di atas lintasan terutama di lintasan terkawal seperti yang bergaris putih. Gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai, dengan kompaun sehingga RM300, termasuk bagi kesalahan seperti berhenti terlalu dekat atau di atas lintasan.
Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana lintasan zebra ini tercipta dan kenapa ia dinamakan sebegitu? Nama ini sebenarnya berasal dari jalur hitam dan putih menyerupai kulit zebra. Lintasan ini mula diperkenalkan secara rasmi di United Kingdom pada tahun 1951, hasil usaha kerajaan tempatan dalam menangani peningkatan kes langgar pejalan kaki. Rekaannya yang kontras membolehkan ia mudah dilihat dari jauh, terutama dalam keadaan hujan atau berkabus. Sejak itu, ia digunakan secara meluas di seluruh dunia termasuk Malaysia, dengan sedikit pengubahsuaian mengikut garis panduan negara masing-masing.
Di Malaysia, lintasan zebra sering kali wujud hanya sebagai simbol tetapi tidak dihormati sepenuhnya. Masih ramai pemandu dan penunggang yang enggan berhenti, walaupun pejalan kaki sudah jelas berada di atas garisan. Ada yang membunyikan hon, memecut laju atau sekadar buat tidak tahu. Malah, tidak kurang juga yang berhenti atas lintasan itu sendiri, menyukarkan pejalan kaki untuk melintas. Sedangkan lintasan ini diwujudkan untuk keselamatan bersama, terutama di kawasan sekolah, hospital dan kawasan tumpuan awam.
Kurangnya pendidikan berterusan dan sikap sambil lewa menjadi punca utama isu ini berlarutan. Ramai yang tahu undang-undang, tetapi memilih untuk tidak peduli. Sikap mementingkan diri, tergesa-gesa, atau terlalu yakin dengan ‘kuasa kenderaan’ sering menjadikan pejalan kaki mangsa. Lebih menyedihkan, masih ada yang mempertikaikan kewujudan lintasan zebra seolah-olah ia tidak penting. Sedangkan, hakikatnya, ia wujud kerana ada keperluan dan tanggungjawab moral semua pihak untuk menghormatinya.
Beberapa insiden telah membuktikan betapa bahayanya jika lintasan zebra tidak dihormati. Kes pelanggaran pejalan kaki, sama ada ringan mahupun membawa maut, pernah berlaku di kawasan lintasan ini. Ramai mangsa terdiri daripada warga emas, kanak-kanak, atau individu berkeperluan khas. Ini bukan isu kecil. Ia mencerminkan kegagalan kita sebagai masyarakat untuk meletakkan nyawa manusia sebagai keutamaan dalam sistem trafik harian.
Sudah tiba masanya kita ubah sikap, bukan sekadar tahu tetapi benar-benar patuh. Hormat lintasan zebra bukan hanya soal undang-undang, tetapi juga soal kemanusiaan. Sama ada anda penunggang motosikal, pemandu kereta atau pengguna jalan kaki, semua berhak selamat atas jalan raya. Jangan tunggu sehingga tragedi berlaku baru hendak ambil peduli. Beri laluan bila perlu, hentikan kenderaan bila wajib. Kerana kelalaian satu saat, boleh meragut nyawa, sesal pun tak sempat.