Aksi Dramatik Warnai Saingan ASB1000, Pusingan ke-5 ARRC 2025

Perlumbaan kedua bagi kategori ASB1000 sempena Pusingan ke-5 Kejuaraan IDEMITSU FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang berlangsung penuh debaran apabila Azroy Hakeem Anuar dari IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA menamatkan saingan dengan kemenangan sensasi selepas insiden dramatik di pusingan terakhir.

Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, bermula cemerlang namun segera dicabar Azroy di selekoh pertama. Beberapa pusingan awal memperlihatkan Hafizh dan Azroy saling bertukar kedudukan di hadapan, sementara Muhammad Zaqhwan Zaidi (IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA), Keito Abe (SDG HARC-PRO. HONDA PHILIPPINES), dan Nakarin Atiratphuvapat (HONDA RACING THAILAND) bersaing rapat untuk posisi utama.

Menjelang pusingan ketiga, Zaqhwan berjaya merampas kedudukan pendahulu dengan catatan masa terpantas 2’06.362s. Azroy kemudiannya meningkatkan rentak, memintas Keito dan mengejar pelumba hadapan dengan rentetan catatan masa terpantas; 2’06.166s, 2’06.028s, dan 2’06.003s antara pusingan keenam hingga kesepuluh.

Pada pusingan ke-11, Hafizh kembali ke kedudukan teratas dan membuka peluang kepada penamat yang mendebarkan. Namun di pusingan terakhir, insiden berlaku apabila Zaqhwan cuba memintas Hafizh tetapi kedua-duanya terjatuh. Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Azroy yang melintasi garisan penamat terlebih dahulu dengan masa 25’26.719s.

Tempat kedua menjadi milik Nakarin (25’29.682s) sementara Andi Farid Izdihar dari ASTRA HONDA RACING TEAM melengkapkan podium dengan catatan 25’29.750s. Keputusan ini membolehkan Nakarin mendahului carta keseluruhan menjelang pusingan akhir di Litar Chang, Buriram, Thailand.

Top 5 Terpantas – Race 2
1. Azroy Hakeem Anuar – Idemitsu Honda Racing Malaysia (25’26.719s)
2. Nakarin Atiratphuvapat – Honda Racing Thailand (25’29.682s)
3. Andi Farid Izdihar – Astra Honda Racing Team (25’29.750s)
4. Keito Abe – SDG HARC-PRO. Honda Philippines (25’30.101s)
5. Lachlan Epis – Savitar Racing Asia (25’44.709s)