Menurut Web Bike World, satu permohonan difailkan kepada California Air Resources Board (CARB) yang mengatakan bahawa Yamaha akan ‘menghidupkan’ kembali YZF-R7 untuk model 2022 akan datang. Bagaimanapun, hanya nama sahaja yang mempunyai persamaan dengan model tahun 1999 ini.
Mengimbas semula sejarah perjalanan Yamaha YZF-R7, ia mula dikeluarkan pada tahun 1999 dan merupakan motor yang luar dari kotak sebuah jentera perlumbaan. Dilengkapi dengan enjin 4 lejang 749cc yang menghasilkan 106hp dari kilang tetapi, bukan powerplant sahaja yang hebat pada motor ini kerana ia juga dilengkapi dengan suspensi Öhlins, enjin internal titanium dan kerangka geometri dari motor perlumbaan ketika itu. Secara ringkasnya, Yamaha R7 adalah jentera yang sukar untuk dimiliki memandangkan pengeluarannya hanya terhad kepada 500 unit.
Selepas 21 tahun, berita penghentian motor ikonik YZF-R6 mula bertiup kencang di lewat tahun 2020 sekaligus meninggalkan jurang yang agak besar dalam barisan motor supersport Yamaha serta memberi kesan terhadap YZF-R3 and the YZF-R1. Jika anda berharap untuk melihat motor ikonik Jepun YZF-R7 yang eksotik ini kembali, lebih elok lupakan sahaja kerana ia mustahil terjadi.
Dikatakan, Yamaha akan mengambil MT-07 yang sedia ada dan menukarnya menjadi sebuah motor supersport dengan menghidupkan kembali nama ikonik “YZF-R7” untuk motor yang menggunakan 689cc parallel-twin. Mungkin kedengaran janggal tetapi perlu tunggu dan lihat sekiranya ia benar-benar berlaku.
Penggunaan nama R7 sedikit sebanyak akan menarik perhatian para peminat tegar jentera ini yang pastinya mempunyai harapan sangat tinggi. Dikatakan lagi, R7 baharu ini akan menggunakan enjin yang diambil dari model MT-07 tetapi diharapkan agar ada perubahan pada chasis, komponen suspensi dan elektrik, seterusnya layak menggunakan ‘lencana’ R7!
Memandangkan model baharu ini bakal dikeluarkan pada tahun 2022, diharapkan lebih banyak informasi dan gambar terbaharu yang dikongsikan. Sehingga informasi dikeluarkan, kita hanya boleh menunggu dengan sabar untuk kehadiran Yamaha R7 baharu tidak lama lagi!
Sumber : Webbikeworld.com