Yamaha RD250 a.ka. LC Tong

Anda pernah menonton Gila-Gila Remaja? Azura? Zaman keemasan remaja 80-an dan 90-an yang menyingkap budaya mat motor pada masa itu. Ketika masih bersekolah dulu, salah satu motor impian yang ingin saya beli ialah Honda MBX. Zaman-zaman ini juga pasaran Malaysia banyak tertumpu pada motosikal 250cc yang boleh dianggap sports bike. YPVS, Katana dan RD250 benar-benar mencipta ikon Jepun yang popular.

Ini adalah Yamaha RD250 atau dikenali dengan nama LC Tong. Diperkenalkan dalam 2 varian 250cc dan 350, model LC 250 lebih menyerlah. Ketika banyak motosikal pesaingnya menggunakan enjin sistem penyejukan udara, RD tampil dengan teknologi sejukan cecair yang hanya ada pada model-model berenjin lebih besar.

Hasilnya, sebuah sub sport yang boleh ditunggang untuk perjalanan jauh dan juga menempuh trafik sesak. Ketika ini tiada istilah naked lagi, kebanyakan posisi tunggangan motosikal ‘upper bone’ lebih kepada santai. Sukan motor pun tidaklah semeriah MotoGP hari ini.

Pasaran hari ini menyaksikan pelbagai motosikal baru dibawa masuk. Suzuki masuk ke dalam kancah persaingan motosikal berkuasa tinggi dengan GSX, Hayabusa dan SV namun jauh dari sudut pandangan umum, populariti motosikal klasik semakin membiak pantas. Kalau 10 tahun sebelumnya, motosikal seperti ini hanya diminati sebagai bahan koleksi, kini ia berubah menjadi projek restorasi penuh, ditunggang sebagai kenderaan harian.

Salah seorang pemiliknya ialah Abang Daud dari kelab Retro Malaysia Rider. Retro Malaysia Rider adalah antara beberapa kelab di Lembah Kelang yang aktif mengumpulkan peminat jentera lama Jepun ini. Abang Daud memilih RD kerana praktikalitinya dan mendapatkan komponen aslinya tidak begitu rumit berbanding motosikal yang lain.

Proses restorasi motosikal bermula di bahagian enjin yang dileraikan sepenuhnya. Rangka motosikal dikemaskan dengan titik kimpalan tambahan dan juga pembaikan minor pada enjin. Dalam masa yang sama, komponen kit badan dilayang dengan warna merah mengikut skematik warna RD keluaran asal tahun 1985 itu. Bahagian depan, rim aloi asli eksotik itu turut menerima warna merah yang sama.

Untuk mendapatkan rupabentuk lebih solid, tayar jenis high profile Dunlop TT100 dipasangkan. Mungkin anda rasa ia tidak penting tapi profil tayar tebal dengan rupa kekotak dari sisi menjadikan motosikal klasik ini nampak cukup garang. Pemilihan tayar yang betul melengkapkan rupa motosikal menjadi kekal klasik walaupun sedikit terdapat elemen kontemporari padanya.

Menuju ke arah Wawasan 2020 yang tinggal kurang setahun lagi, kelompok peminat motosikal klasik ini telah mengubah lanskap dunia 2 roda tempatan. Di kebanyakan pameran motor misalnya, motosikal klasik semakin bertambah, kualiti pembaikan semakin baik dan industri nampaknya makin berkembang. Permintaan motosikal begini meningkat mendadak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia menjadikan harganya tidak lagi murah untuk dimiliki. Sebuah LC Tong lengkap boleh lebih dari RM20K. Saya pernah jumpa yang katanya limited sama harga dengan sebuah CB500 baru!