Yamaha NMAX 155, Pilihan Pelumba Rally Malaysia

Setelah pening memikirkan motor apa yang nak dijadikan bahan, abam Bobby teringat seorang kawan yang rancak berkongsi tentang cerita dia pergi ride tempoh hari. Kawan abam ni seorang pelumba, rally driver, pelakon aksi ngeri, instructor pemanduan dan juga pemandu jentera lumba profesional, Faidzal Alang. Abam Bobby pasti, sesiapa yang mengikuti perkembangan sukan perlumbaan 4 rida pasti tahu serba sedikit tentang beliau.

Bagi makluman, Faidzal Alang masih lagi aktif dalam pelumbaan litar, rally dan juga aktif dengan pemanduan aksi lagak ngeri (stunt driving) untuk filem, drama, persembahan dan juga iklan tv. Sebenarnya, pertemuan dengan beliau ini tidak dijangka dan dirancang pun. Kebetulan lalu di kawasan taman tema MAPS Perak yang berhampiran dengan rumah beliau. Setiap kali tengok MAPS Perak, mesti teringat beliau.

Sebagai seorang pelumba rally yang bergerak pantas di laluan berliku, laju di sebarang permukaan bentuk muka bumi, tangkas mengharungi setiap halangan. Apakah tunggangan yang menjadi pilihan beliau? Ya, pertemuan ini berjaya memberi jawapan kepada pertanyaan abam Bobby.

Bersesaran 155cc, Faidzal Alang memilih Yamaha NMAX 155 sebagai tunggangan beliau. Ringkas, pantas dan selesa. Beliau memilih warna brown mate dan tidak banyak yang ditambah beliau ke atas motor ini. Jika diperhatikan dengan teliti, hanya wind shield, Givi Box dan decal sahaja yang dipasangkan ke atas Yamaha NMAX 155 ini. Lebih istimewa lagi, decal yang dipasangkan adalah hasil dari kerja tangan dan kreativiti beliau sendiri yang juga menjalankan perniagaan pencetakan FA Design.

Menurut beliau sebagai pelumba profesional, kehidupan dalam dunia perlumbaan yang serba pantas dan laju, semangat agresif serta mencabar biarlah di tempat itu sahaja.

“Jika nak race, race di litar, atas jalan raya kita santai-santai aje sambil patuh undang-undang,” ujar beliau yang juga bertugas sebagai tenaga pengajar (instructor) untuk pemanduan defensive dan advanced.

Apabila berada di situasi lain, anda perlu sesuatu yang lebih menenangkan dan selesa. Bagi Faidzal, NMAX memberikan beliau keselesaan ketika menunggang khususnya apabila berada di luar zon perlumbaan. Bapa kepada 4 cahaya mata ini lebih menggemari suasana tenang ketika menunggang motosikal.

Antara ciri-ciri kesukaan beliau yang ada pada NMAX ini adalah kedudukan menunggang yang agronomic, sangat selesa samada menunggang dalam bandar mahupun untuk perjalanan jarak jauh. Kemudahan ruang storage (simpanan) yang besar di bahagian bawah tempat duduk motor ini sesuai digunakan seandainya anda mempunyai banyak barang untuk dilindungi.

Selain itu, Faidzal juga menambah peti simpanan belakang sebagai tambahan kerana beliau sering menggunakan motor ini untuk keperluan kerja. Givi Box yang dipasangkan di bahagian belakan ini mampu menyimpan lebih daripada sebuah helmet dan juga barang-barang yang lain. Justeru itu, tidak hairan sekiranya ada mulut-mulut nakal menggelarkan motor ini sebagai selera orang-orang lama. Orang lama pun, lamalah tapi spec motor untuk abah-abah ini sangat praktikal buat masa sekarang.

Dengan enjin bersesaran 155cc, motor ini boleh meluncur laju tanpa sebarang masalah. Cuma, abam Bobby ada satu persoalan yang perlu dijawab. Bolehkan motor ini mengambil selekoh?

Menurut Faidzal Alang, ianya bergantung kepada kemahiran penunggang itu sendiri. Memandangkan jawapan yang diberi agak subjektif, abam Bobby terima seadanya. Kalau difikirkan pun, ada betulnya. Takkan kita nak samakan level cecah lutut Rossi dengan Marc Marquez. Lain orang, lain tahap kemahiran penunggangan masing-masing.

Bagi sistem henti pada motosikal ini, Faidzal Alang langsung tidak mempunyai sebarang masalah memandangkan Yamaha NMAX dilengkapi dengan sistem brek cakera di bahagian hadapan dan juga di bahagian belakang. Motor ini boleh berhenti mengikut kehendak penunggang. Jadi, tidak hairanlah ia menjadi tunggangan pilihan seorang pelumba Rally Malaysia yang kini aktif dengan kelab motor NMAX Seladang Crew yang bertumpu di Perak dan juga NMAX Rider Malaysia (seluruh Malaysia) Sesiapa yang berhampiran, bolehlah hello hello dorang ya!