
Tidak sekadar mengketengahkan model baharu, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) turut mengemaskinikan beberapa model antaranya skuter berseseran kecil – Yamaha Ego Avantiz yang diberi nafas baharu dengan warna yang seksi dan grafik yang lebih kemas. HLYM menampilkan warna yang lebih sporti bagi model Ego Avantiz untuk tahun 2021 dengan 3 warna terbaharu diperkenalkan iaitu Biru, Merah dan Matte Green manakala tiada perubahan lain ke atas keseluruhan model ini.

Untuk itu, model ini masih kekal menggunakan silinder tunggal 125 cc sejukan udara yang menghasilkan kuasa maksimum 9.4 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 9.6 Nm @ 5,500 rpm, sistem suntikan bahan api dan transmisi tali sawat-V automatik. Di bahagian sistem suspensi, Ego Avantiz kekal menggunakan teleskopik pada bahagian hadapan, lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang, sementara brek pula terdiri daripada cakera tunggal hidraulik di hadapan dan brek dram di bahagian belakang.

Skuter kecil, menarik dan popular dikalangan remaja masa kini, dipadankan dengan rim bersaiz 14 inci (tayar 70/90 depan, 90/80 belakang), Ego Avantiz menawarkan jarak kelegaan tanah 135 mm dan ketinggian tempat duduk 773 mm. Bagaimana dengan harga? Masih tidak berubah dan kekal pada tag jualan RM4.873.31 atas jalan tanpa insurans, dan yuran pendaftaran, serta termasuk pengecualian duti eksais sifar peratus sehingga 31 Disember 2021.