WMoto RT3, Mampu Pikat Pembeli!

Persaingan bagi skuter bersesaran 250cc ke bawah kian rancak dengan fokus utama kebanyakan pengeluaran motosikal lebih terarah kepada pemegang Lesen B2 yang mendominasikan penggunaan motosikal tempatan. Terbaharu jenama WMoto yang bernaung di bawah MForce tampil dengan model RT3 pada tag harga RM15,188 – sesuatu yang tidak mampu ditolak oleh peminat skuter tanahair tambahan dengan pelbagai kelebihan yang diberikan terhadap model ini.

Model dalam segmen skuter dilancarkan melalui Facebook Live WMoto, RT3 didatangkan dengan ciri-ciri terkini yang pastinya memenuhi setiap kehendak para peminat skuter di Malaysia. WMoto RT3 ini memberikan reka bentuk yang eksklusif dan bergaya yang sesuai untuk kegunaan harian. Skuter ini memiliki reka bentuk terkini dan didatangi bahagian yang dihiasi dengan serat karbon.

Enjin 247cc ini menggunakan empat injap yang disokong oleh DOHC untuk memberikan lebih kuasa secara keseluruhan di samping menawarkan kuasa maksimum 23Hp pada 8,000rpm dan tork 22.5Nm pada 6,500rpm. Ciri-ciri utama yang paling menonjol pada WMoto RT3 ini adalah kunci pintar ataupun Smart Key. Sistem kunci pintar ini mudah digunakan untuk menghidupkan, mematikan enjin, membuka ruang simpanan dan tangki bahan bakar tanpa perlu mengeluarkan kunci dari poket anda. Ianya lebih mudah dan selamat dengan teknologi pintar ini.

Berbanding dengan skuter jenama lain untuk kelas 250cc, skuter yang mendapat pengiktirafan Euro 4 ini memiliki tangki bahan api berkapasiti 17-liter yang sangat sesuai untuk perjalanan lebih jauh dan mengelakkan dari kekerapan untuk mengisi petrol. Skuter keluaran MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. ini memilik suspensi hadapan jenis teleskopik dan di bahagian belakang menggunakan penyerap hentakan berkembar boleh laras.

Selain itu, WMoto RT3 ini diperkukuhkan lagi dengan penggunaan sistem ABS jenama Bosch yang berkualiti tinggi pada brek hadapan dan belakang untuk meningkatkan keselamatan penunggang. WMoto RT3 ini memiliki ruang simpan bawah tempat duduk yang luas untuk menempatkan sebuah topi keledar, baju hujan dan barangan peribadi. Ruang simpanan juga turut mempunyai lampu LED yang boleh menerangi ruangan tersebut di persekitaran gelap.

Penunggang boleh mengecas dua telefon pada masa yang sama kerana skuter WMoto RT3 ini memiliki dua soket pengecas yang terletak di ruang simpanan hadapan. Tidak ketinggalan, ia juga dilengkapi dengan lampu latar bewarna biru pada setiap butang kawalan yang terletak di kedua-dua belah bar hendal sebagai penunjuk.

Untuk persiapan menghadapi sebarang kejadian yang tidak dijangka, WMoto telah melengkapkan RT3 ini dengan cermin sisi yang boleh dilipat dan dilaraskan. Ianya di reka berdasarkan reka bentuk automobil demi memastikan tidak berlaku sebarang kerosakan pada cermin semasa di parkir.

Selain itu, untuk keselesaan para penunggang, WMoto RT3 turut disertakan dengan tuas brek boleh laras yang boleh disesuaikan mengikut kehendak anda. Skuter eksklusif ini dilengkapi dengan tayar hadapan 120/70 dan belakang 140/60 untuk kestabilan menunggang dengan cengkaman yang berkesan.

Keselamatan penunggang sentiasa menjadi keutamaan kami, oleh itu skuter ini dibina dengan sarung tempat duduk anti-licin untuk mengelakkan dari meluncur ke hadapan semasa brek. Selain itu, grip frame yang sporty mudah alih dipasang pada WMoto RT3 ini mampu menampung berat sebanyak 5kg.Paparan speedometer WMoto RT3 pula dalam bentuk digital dan analog serta memberi enam pilihan warna untuk paparan pemilik iaitu merah, ungu, jingga, biru, kuning dan putih.

Skuter WMoto RT3 ini telah berada di semua premis pengedar sah MForce dengan tiga pilihan warna eksklusif iaitu Matte Grey, Glittery Blue dan Red pada harga jualan asas cuma RM15,188.00 sahaja (tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran) dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (mana yang terdahulu).

Spesifikasi Teknikal
Jenis Enjin 4 Lejang, Silinder Tunggal, 4 Injap, DOHC
Gerek & Lejang (mm) 73 x 59
Sesaran (cc) 247
Sistem Penyejukan Sejukan Cecair
Kuasa Maksimum 23Hp pada 8,000rpm
Tork Maksimum 22.5Nm pada 6,500rpm
Sistem Pemacuan Pemacu Tali
Sistem Pelinciran Pelincir daya
Sistem Bahan Api Suntikan Bahan Api Elektronik
Pematuhan Euro 4
Sistem Penghidup Elektrik
Sistem Pencucuh Transistor
Jenis Klac Kering, Emparan Automatik
Transmisi CVT
Suspensi Hadapan Teleskopik
Suspensi Belakang Penyerap Kejutan Berkembar
Brek Hadapan Cakera dengan ABS, Bosch
Brek Belakang Cakera dengan ABS, Bosch
Tayar Hadapan 120/70-15
Tayar Belakang 140/60-14
Panjang Keseluruhan (mm) 2,165
Lebar Keseluruhan (mm) 767
Tinggi Keseluruhan (mm) 1,395
Tinggi Tempat Duduk 755
Jarak Roda (mm) 1,545
Kelegaan Tanah (mm) 155
Berat (kg) 194
Kapasiti Bahan Api (L) 17