Warnai Saingan Dengan Duka Dan Kejayaan di Pusingan 5, Di Litar Permotoran Terengganu

Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Permotoran Terengganu menyaksikan gabungan aksi permotoran berprestij tinggi yang diselimuti suasana duka. Di sebalik kejayaan penganjuran yang menghimpunkan aksi terbaik dalam tiga kategori utama, arena permotoran tanah air dikejutkan dengan insiden tragis yang meragut nyawa pelumba muda berbakat besar, Allahyarham Farres Putra Mohd Fadhil daripada pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING. Pemergian Allahyarham menjadikan pusingan kali ini bukan sekadar sebuah pentas persaingan, sebaliknya satu detik peringatan berharga tentang pengorbanan besar serta risiko tinggi yang digalas oleh setiap wira dua roda di litar lumba.

Duka saingan terbukti seawal perlumbaan kemuncak kategori CP150 apabila kemalangan berantai pada pusingan pertama memaksa bendera merah pertama dikibarkan bagi memberi ruang kecemasan. Perlumbaan yang dimulakan semula bersambung sengit antara Md Helmi Azman (TAB SPORTS SCK HONDA RACING) dan Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR). Walaupun litar terus menuntut mangsa dengan jatuhnya beberapa pelumba utama lain di pusingan keenam, Helmi kekal fokus mencatat masa terpantas 49.721s sebelum hujan lebat di pusingan ke-12 memaksa bendera merah kedua dikibarkan. Mengikut keputusan rasmi pusingan ke-11, Helmi dinobatkan sebagai juara dengan catatan 9’17.171s, diekori Kasma di tempat kedua dan Md Irfan Haykhal Amidi di tempat ketiga.

Menyentuh cabaran awal perlumbaan CP150 yang serba tegang dan penuh emosi itu, Helmi menyifatkan strategi dan kesabarannya menjadi kunci kejayaan. Beliau berkata, “Perlumbaan agak mencabar pada waktu permulaan, terutamanya apabila semua pelumba bersaing sengit merebut posisi di hadapan. Namun, saya cuba melakukan yang terbaik untuk segera melepaskan diri daripada kesesakan tersebut dan mula kekal di hadapan. Syukur, percaturan itu menjadi.”

Bagi kategori CP125 pula, pertarungan dramatik hingga ke garisan penamat menyaksikan penguasaan cemerlang pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR menerusi keputusan 1-2. Md Adie Putra Sukarno melakar kemenangan sulungnya dengan jumlah masa 12’55.536s selepas bijak memintas semula Emil Idzhar Ezuan (PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING) pada pusingan terakhir. Rakan sepasukan Adie, Md Adib Arsyad Mohd Hisam, turut mempamerkan kebangkitan hebat untuk menamatkan saingan di tempat kedua (12’59.270s), manakala Emil akur melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga (12’59.343s).

Kejayaan sulung di Terengganu ini meninggalkan kesan mendalam buat Adie yang turut menyedari risiko tinggi di selekoh pertama sejurus pelepasan. Adie berkongsi, “Permulaan perlumbaan sangat mendebarkan dan menguji ketahanan mental. Seperti yang dijangka, kesesakan di selekoh pertama berisiko tinggi untuk berlakunya insiden. Walau bagaimanapun, saya mengingatkan diri untuk kekal fokus dan mencari ruang yang selamat.” Beliau turut mendedikasikan kejayaan tersebut khas buat kedua-dua ibu bapa serta seluruh pasukannya yang bertungkus-lumus menyediakan jentera terbaik.

Dalam kategori WIRA, Nuzzul Ady Muhammad Sudin daripada PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING meneruskan penguasaan magisnya apabila mengukir kemenangan kedua berturut-turut. Saingan yang pada awalnya didominasi oleh pelumba IGOL BROTHERS 7 TECH RACING bertukar cemas apabila insiden sentuhan antara Raja Abdurraqib dan Md Fairil Hazmi pada pusingan ke-11 menyebabkan kedua-duanya tersingkir daripada pemburuan podium. Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ady untuk memecut tenang mengungguli perlumbaan dengan catatan masa 10’37.619s.

Kemenangan Ady disusuli saingan sengit merebut kedudukan selebihnya di mana Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki merangkul naib juara dengan perbezaan masa tipis 0.042s (10’37.661s). Manakala Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam daripada HONDA RS MEGATECH RACING TEAM melengkapkan tempat ketiga (10’40.755s). Ketenangan Ady membaca corak tunggangan lawan di kelompok belakang sebelum melancarkan serangan pada enam pusingan terakhir menjadi formula ampuh yang mempertahankan kejuaraannya dari Pusingan 4.

Mengulas mengenai taktiknya di litar, Ady berkata, “Perlumbaan hari ini menuntut tahap kesabaran yang sangat tinggi. Sejak awal, saya memilih untuk berada di belakang bagi membaca corak tunggangan lawan serta menjaga keadaan tayar. Apabila pelumba di hadapan mula leka dan membuka ruang, saya segera memanfaatkan peluang keemasan itu untuk memintas. Alhamdulillah strategi itu menjadi.”

Pusingan di Terengganu ini secara keseluruhannya mempamerkan kesungguhan, ketabahan mental dan kemahiran tinggi daripada kesemua pelumba muda negara. Di sebalik kejayaan piala yang dijulang dan mata kejuaraan yang dipungut, setiap pusingan roda di Litar Terengganu tetap menjadi simbol perjuangan anak-anak muda yang meletakkan impian dan keberanian mereka di atas tar jalan raya.

Keringat serta pengorbanan yang dicurahkan oleh para pelumba akan sentiasa dihormati oleh seluruh komuniti permotoran. Salam takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Farres Putra. Dedikasi dan semangatnya di atas litar akan terus dikenang sebagai lipatan sejarah permotoran yang tidak akan padam.

Top 3 Terpantas – CP150
1.Md Helmi Azman – TAB Sports Sck Honda Racing (9’17.171s)
2.Kasma Daniel Kasmayudin – Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (9’17.390s)
3.Md Irfan Haykhal Amidi – TAB Sports Sck Honda Racing (9’21.544s)

Top 3 Terpantas – CP125
1.Md Adie Putra Sukarno – Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (12’55.536s)
2.Md Adib Arsyad Mohd Hisam – Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (12’59.270s)
3.Emil Idzhar Ezuan – Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing (12’59.343s)

Top 3 Terpantas – Wira
1.Nuzzul Ady Muhammad Sudin – Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing (10’37.619s)
2.Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki – Igol Brothers 7 Tech Racing (10’37.661s)
3.Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam – Honda Rs Megatech Racing Team (10’40.755s)