Pelbagai cara dan gaya jika sudah meminati sesuatu perkara. Seperti mana minat seorang peminat terhadap artis pujaan mereka, kadang kala apa yang mereka lakukan adalah bagi ‘menzahirkan’ keterujaan dalam bentuk yang sukar dibayangkan.
Begitu juga perihalnya dengan Rozi Abdullah yang menghiasi ruangan kali ini. Dia merupakan antara ribuan penggemar genre muzik rock kapak tanah air. Menariknya, minat Rozi terhadap kumpulan rock tanah air menjuruskan diri dengan mengabadikan 4 artis pujaannya bersama motosikal lamanya.
Selain itu, tulisan dengan nama-nama kumpulan mereka turut dipamerkan di badan motosikal. Untuk makluman, istilah ‘rock kapak’ merujuk kepada peminat yang gemar akan genre muzik slow rock atau rancak yang pernah menggegar industri muzik tanah air satu ketika dahulu. Fesyen rambut panjang dan mengembang, seluar ketat, kepala tali pinggang jenis tengkorak, singlet sendat atau paling tidak kasut ‘high-cut’ seperti jenama Alip menggambarkan suasana muzik rock kapak ketika itu.
Aliran muzik ada yang keras, luhur dan juga mengasyikkan. Seperti mana Rozi Abdullah yang lebih meminati jenis slow rock atau balada rock ketika diminta penulis lagu kegemarannya setiap artis yang dipujanya.
“Bagi saya Ramli Sarip tetap digelar ‘Papa Rock’ terbaik di Malaysia. Lagunya (Teratai) juga tidak melalaikan sebaliknya meruntun dan mengajak peminat ke arah kebaikan sekiranya difahami bait-bait lagu yang dilantunkan.
“Begitu juga Amy Search. Dia adalah pencetus era rock kapak pada awal tahun 1980an. Saya meminati lagu Pawana (album Fenomena) mungkin ia adalah sebuah lagu hard rock (rancak).
Selain Ramli Sarip dan Amy Search, Rozi juga mengabadikan 2 lagi penyanyi rock lagenda iaitu Awie Wings (Jaket Biru) dan Mus May (Dari Kaca Mata). Kedua-duanya juga antara pencetus fenomena genre rock satu ketika dahulu.
Atas minat yang mendalam terhadap artis tersebut, Rozi mendapat satu idea untuk mengabadikan wajah-wajah artis rock terbabit di atas motosikal lamanya.
Menyentuh tentang sejarah pemilikan motosikal Honda C90, Rozi menjelaskan jentera itu dibeli daripada seorang pemilik yang pada awalnya meletakkan harga cukup tinggi untuk dia memilikinya.
“Saya menggelarkan jentera ini sebagai Honda C90 BBR. Apa yang saya maksudkan BBR adalah singkatan Bapak-Bapak Rockers yang turut dikaitkan dengan artis yang saya sebutkan tadi,” jelas Rozi ketika menjelaskan maksud yang tersirat berkait dengan istilah BBR tersebut.
Menurutnya, banyak permasalahan yang dihadapi untuk memiliki motosikal Honda lama ini. Dari harga sehinggalah ketika hendak menjadikan ia sebagai motosikal standard yang masih boleh digunakan.
“Jentera (Honda C90) ini pada asalnya merupakan milik seorang kawan lama. Sewaktu hendak ‘dipinang’, dia meletakkan harga yang agak tinggi untuk saya membelinya.
“Saya menolak untuk membelinya memandangkan ketika itu saya berdepan dengan krisis kewangan. Saya terpaksa menolak. Dalam masa yang sama berharap dia akan menawarkan harga yang lebih rendah.
“Sehinggalah setahun selepas itu, saya dihubungi pemilik Honda C90 dan dia menawarkan harga sejumlah 2 ribu dengan pembayaran 2 kali,” ujar Rozi sambil memberitahu bahawa pemilik jentera itu menjual kepadanya disebabkan situasi kewangan yang meruncing.
Menceritakan perihal motosikal C90 itu, Rozi menjelaskan bahawa pada awal pembeliannya, jentera ini dalam keadaan standard. Hanya beberapa bulan selepas itu (kewangan stabil) timbul pula idea untuk modifikasikan jentera ini.
Rozi menyerahkan perihal idea dan tema yang dihajati kepada rakannya di Kuantan. Dia meluahkan untuk mengabadikan wajah-wajah artis kesayangannya di atas jentera C90 itu menggunakan teknik air brush. Ketika diajukan pertanyaan berkenaan hobi terhadap dunia permotoran dua roda, Rozi anak kelahiran Temerloh, Pahang dan kini menetap di Shah Alam, Selangor sememangnya agak obses dengan jentera lama.
Bermula dari zaman bujang lagi sehingga berkahwin dan memiliki 4 orang anak, keinginan dan hobi Rozi untuk memiliki jentera-jentera lama tidak pernah padam. Malah, dia juga memiliki koleksi beberapa model lama sehingga ke hari ini.
“Alhamdulillah, hobi saya ini banyak disokong oleh isteri dan anak-anak. Bukan sahaja memberi semangat malah ahli keluarga terutamanya isteri turut meminati jentera dua roda ini.
“Kata orang, kami pasangan ‘satu kepala’. Ke mana sahaja kami pergi, sama ada menunggang bersama atau bergerak dengan dua biji motosikal sekali pun pasti dengan orang rumah saya. Pendek kata, kami macam belangkas, mesti tetap bersama,” ujar Rozi ketika menjelaskan situasi keluarga.
Tidak sekadar meronda di seluruh pelusuk tanah air, Rozi turut mencuba mempamerkan koleksi jenteranya dalam beberapa pertandingan motoshow seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.
Dia juga turut menyimpan beberapa koleksi motosikal lama yang sebahagian besarnya adalah untuk menyertai pertandingan autoshow. Antara koleksi motosikal yang dimiliki oleh Rozi adalah Honda C70, Honda C90, Suzuki GP100, Yamaha SS2, Lagenda 110ZR, Yamaha FZ150, BMW 310, Kawasaki CPZ 250, Victor 150 dan Honda CBR 600.
“Namun motosikal yang sering membawa tuah kepada saya dan isteri adalah model Honda C70 dan Honda C90. Dengan dua model tersebut, (saya dan isteri bawa bersama) telah meraih beberapa pertandingan semenjak saya mulai berjinak-jinak menyertai dunia autoshow,” tambah Rozi yang berharap dia dan isterinya dalam membuat percubaan menjelajah motosikal lama ini mengelilingi Semenanjung Malaysia satu ketika nanti.
Spesifikasi Honda C90 BBR
Jenama: Honda
Model: C90
Keluaran: Tahun 1982
Modifikasi: Standard Kilang
Tema: Air Brush Bapak-Bapak Rockers
Bengkel AirBrush: Kuantan, Pahang
Status: Berkahwin
Anak-anak: 4 orang
Koleksi Jentera:
Honda C70
Honda C90
Suzuki GP100
Yamaha SS2
Lagenda 110ZR
Yamaha FZ150
BMW 310
Kawasaki CPZ 250
Victor 150
Honda CBR 600