Apabila bercakap tentang motor polis California, pasti ramai yang memikirkan tentang motor Kawasaki KZ1000s yang ditunggang Ponch dan Jon dalam siri ChiPs yang pernah popular sekitar tahun 1970an dahulu. Namun begitu, California ini adalah nama kepada salah sebuah model Moto Guzzi yang direka sebagai model cruiser sejak tahun 1971. Ya, ia merupakan sebuah motosikal polis tetapi bukan di Amerika Syarikat atau di Itali, sebaliknya ia digunakan di Jerman!
Sebelum diimport ke Amerika Syarikat, motor California 850GT keluaran tahun 1974 ini digunakan sebagai motor polis di Jerman. Terdapat banyak butang kawalan ekstra dan lampu indikator juga siren pada bahagian dashboard. Walaupun semua kelengkapan itu sudah tiada, masih ada satu lampu amaran dan ianya tidak dibenarkan untuk kegunaan orang awam. Suis pencucuh terletak di bahagian bawah tempat duduk di bahagian kiri dan motor ini mempunyai tongkat sisi lebih panjang yang membantu polis turun dan naik motor dengan mudah.
California 850GT ini adalah salah satu contoh motor asal yang menerima sentuhan kerja restorasi terbaharu yang baik walaupun tidaklah sempurna. Tangki bahan api telah dicat semula, fender depan sedikit kemik, tab suiz lampu pecah dan lampu isyarat sukar untuk berfungsi. Kerosakan minor ini memang sering terjadi kepada motor lama dengan sejarah yang agak menarik. Tidak dinafikan, untuk motor yang sudah digunakan sejauh 84,000 km, ia masih lagi dalam keadaan baik.
Bagi makluman, Moto Guzzi California masih lagi ada sehingga kini yang mana asalnya direka menerusi rundingan bersama bahagian Trafik Jabatan Polis Los Angeles (Los Angeles Police Department Traffic Division) untuk menggantikan Moto Guzzi VZ yang digunakan terlebih dahulu oleh jabatan itu. Ianya dinamakan sebagai California sebagai penghormatan tempat asal perekanya. Versi moden jauh lebih bagus tetapi model 850GT inilah permulaan segala-galanya. Tiada yang dahulu, tiadalah sekarang!
Sumber – RideApart.com