Ulang Tahun Ke-15 Meraikan Fenomena ‘Summer Festival – Kustom Bergaya’

Art of Speed Malaysia (AOS) 2026 sekali lagi mencetuskan sejarah baharu menerusi sambutan Kustom Kulture terbesar di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 1 dan 2 Ogos lalu. Bersempena ulang tahun penganjurannya yang ke-15, AOS 2026 memperkenalkan konsep ‘Summer Festival’ yang menggabungkan minat terhadap automotif, muzik, seni, dan gaya hidup dalam satu pengalaman festival yang penuh warna-warni buat ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Penganjuran edisi kali ini menampilkan barisan kenderaan kustom bertaraf dunia seperti Harley-Davidson Knucklehead 1945 milik Hawgholic dan Harley-Davidson Shovelhead 1966 daripada Vise Clothing dari Jepun. Tarikan festival turut disemarakkan dengan kehadiran jentera kustom dari Bangkok, Thailand dan Taiwan, serta kemunculan julung kali Liberty Walk (LBWK) dari Jepun yang menjadi perhatian utama.

Acara kemuncak pameran automotif menyaksikan Mujo Juros dinobatkan sebagai Pemenang Pilihan Juri dan Pemenang Pilihan Pengunjung menerusi jentera kustom GPX Gentleman 200 dalam pertandingan Art of Speed Invitational Bike Build-Off. Mujo Juros membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 serta wang tunai RM5,000 atas kejayaan ganda berkenaan. Sementara itu, pemenang Best of Show Automobile meraih pakej eksklusif ke 34th Annual MOONEYES Yokohama Hot Rod Custom Show 2026 di Jepun, manakala pemenang Best of Show Motorcycle masing-masing menerima plak penghargaan khas.

Bagi peminat skala kecil, Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) edisi keempat di Hall C menjadi tumpuan menerusi pelancaran model eksklusif HWCCM 2026 Custom Nissan Skyline GT-R V·Spec II (BNR34) berserta nombor siri unik dan pelekat rasmi Motul dan Yokohama. Kehadiran Lead Product Designer Hot Wheels Premium, Ronald Wong, serta pameran khas oleh Malaysia Skyline Owners Group (MSOG) menambah kemeriahan pameran diecast yang turut menawarkan model eksklusif Kyosho × MOONEYES, Tarmac Works × RWB, dan Mini GT × Liberty Walk.

Sisi hiburan festival dihangatkan melalui SoundCircus Festival (SCF) 2026 yang disokong oleh Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures di bawah program Concert and Events in Malaysia Incentive (CEMI). Menampilkan enam pentas, SCF 2026 dimeriahkan oleh persembahan Ella x Cokelat, Sheila Majid, Nadin Amizah, Disagree, Johnny Pandora, Dannqrack & Eemrun, Hari Slatan, sambutan ulang tahun ke-20 Hujan, serta ulang tahun ke-30 Asian Hardcore.

Kehangatan festival muzik dipertingkatkan lagi dengan pengenalan Flying Fox pertama di Asia yang merentasi kawasan penonton konsert. Fasiliti unik ini membolehkan para pengunjung meluncur di atas Pentas 16 SoundCircus sambil menikmati persembahan muzik secara langsung dengan penuh adrenalin.

AOS 2026 turut memperkukuh kedudukannya melalui 10 kolaborasi baharu bersama jenama tempatan dan antarabangsa seperti Liberty Walk, Hot Wheels, DicE Magazine, Xocks, DRUM, Touch ’n Go, Zippo, Cricket, Skillo, dan Easthood. Selain itu, kerjasama khas bersama Astro Shaw mempromosikan filem “Terbang” menerusi pameran kenderaan ikonik filem dan sesi bertemu peminat. Hall D pula menghidupkan elemen seni street style menerusi Gravel Travel, Custom Bicycle Show & Shine, Kulture Kartel, serta pertandingan B-Boy dan rap.

Pelbagai aktiviti gaya hidup seperti Santai Scooterist & Car Club Gathering, Kids Recreation Zone, himpunan KL Orbits, Automotive Flea Market, Collectible Alley, dan sesi test rides motosikal memastikan kebolehhadiran pengunjung dari segenap lapisan umur. Bersempena festival ini juga, Tourism Selangor yang diwakili Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, melancarkan Tourscape @ Selangor menerusi Road Trip Fun Maps untuk meneroka 12 daerah di Selangor.

Aktiviti Kembara Passport AOS 2026 sekali lagi menjadi tarikan interaktif dengan tawaran ganjaran keseluruhan bernilai lebih RM80,000. Hadiah utama motosikal custom Thunder Motorcycles 250 telah dimenangi oleh Arsh Rafayed Bin Muhamad Izzatul Firdaus, manakala kereta Honda HR-V MK1 Japan Edition yang diubah suai khas dimenangi oleh Amirul Fitri Bin Sharif, di samping pelbagai hadiah lain seperti Vespa S 125, kamera DJI, dan pakej pelancongan.

Pengarah Festival, Asep Ahmad Iskandar menyatakan bahawa kejayaan dan sokongan antarabangsa yang diterima mencerminkan peranan AOS sebagai platform yang menghubungkan pembina, jenama, artis, dan peminat global. Beliau menegaskan komitmen AOS untuk terus meraikan kreativiti tanpa batas, mengangkat bakat tempatan, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai nadi utama Kustom Kulture di rantau ini.