Program yang dinanti-nantikan oleh segenap peminat kereta iaitu Velocity Motor Show kembali dengan bermacam-macam aktiviti menarik yang disediakan. Ramai turut serta dan turun padang untuk menzahirkan sokongan. Ada yang datang dari Thailand, Singapura dan Malaysia sendiri.
Dikuasakan oleh Pulzar Lubricant, karnival All About Wheels 2022 yang menampilkan monster truck dibawa khas dari negara Thailand menghangatkan lagi acara anjuran Velocity Motor Show di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa MINES (MIECC). Selain itu, pameran automotif serta pelbagai pameran lain menghidupkan lagi acara anjuran Velocity Motor Show yang berlangsung pada 25 hingga 27 November lalu.
Para pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan tiga buah Monster Truck dengan lebih dekat serta beberapa model filem animasi lain seperti Cars dan Lightning McQueen dalam kalangan peminat kereta. Lebih menarik lagi, Velocity Motor Show turut menganjurkan pertandingan Push Bike yang disertai kanak-kanak berusia dari 2 hingga 6 tahun.
Dirasmikan oleh YB Senator, Datuk Ti Lian Ker, para penganjur berharap karnival ini akan diangkat sebagai karnival tahunan serta terkenal di rantau Asia yang berjaya menjadi tumpuan khususnya para peminat industri permotoran. Banyak lagi aturcara yang disediakan sepanjang karnival berlangsung dan berjaya menjadi tumpuan para pengunjung seperti WrapFest, TunesFest, AirFest, 4x4Fest dan AutoFest yang mempamerkan pelbagai modifikasi menarik.
Tidak ketinggalan, beberapa jenama motosikal berkuasa tinggi turut mengambil bahagian antaranya termasuk Harley Davidson, Vespa, Aprilia dan Royal Enfield. Selain itu, fenomena E-Bike juga dibawa dengan penampilan Royal Enfield Bike Show N Shine.
Kehadiran dan penampilan istimewa selebriti terkenal tanah air seperti Farid Kamil dan juga Cat Farish yang datang untuk tujuan mempromosikan filem terbaharu Remp-It turut menyemarakkan lagi suasana selain pertandingan sukan Muay-Thai. Dengan pelbagai aktiviti dan pameran, harga tiket yang dikenakan kepada para pengunjung dikira sangat berbaloi.