Throwback : Majlis Berbuka Puasa Harley Utara Group Bersama Anak-anak Yatim

Kebanyakan kelab permotoran menganjurkan pelbagai program kerja-kerja amal sepanjang bulan Ramadan dan antara yang tidak ketinggalan mengambil peluang melakukan kebajikan di bulan mulia ini adalah Harley Utara Group. Harley Utara Group dengan kerjasama Hayat Golba Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim di Kelab House HUG yang bertempat di Kubang Rotan, Kuala Kedah.

Sebanyak 13 orang anak yatim perempuan berusia dalam lingkungan dari umur 6 hingga 13 tahun rumah Anak Yatim Bunga Raya, 6 orang ibu tunggal daerah Kubang Rotan dan 30 orang anak-anak Tahfiz dari Maahad Tahfiz At-Toyyib bersama 3 orang ustaz pengiring dan 16 orang anak yatim dari 6 buah keluarga telah terlibat dalam program ini. Sekitar jam 5.30 petang, ahli-ahli HUG bersama jemputan rakan bikers dari kelab permotoran telah tiba dan majlis dimulakan pada pukul 6 petang dengan kata-kata aluan Tuan Presiden, En. Tarmizi, diikuti majlis bacaan yasin dan tahlil.

Selepas jamuan berbuka puasa, para peserta telah bersolat maghrib berjemaah yang diikuti majlis penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim, tahfiz dan ibu tunggal oleh Tuan Presiden dan AJK. Majlis akhirnya melabuhkan tirai dengan bacaan doa selamat dan bersurai lebih kurang sekitar 9.30 malam. Sekiranya tiada halangan, pihak HUG dan rakan bikers akan menganjurkan satu lagi program amal yang serupa sebelum hujung tahun ini dan akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat. ~k.Nor~