Throwback : Kembara Ihsan Samui II 2019

Kembara Ihsan Samui II adalah satu program amal, konvoi motosikal berkuasa tinggi dan kereta, membawa bantuan dan sumbangan kepada Sekolah Agama Nurul Ihsan, Koh Samui di wilayah Suratthani. Kembara ini dianjurkan oleh Northern Versys Owner Group (NVOG) and Friends dengan kerjasama Zahafiz Travel & Tour, Persatuan Pasca Siswazah Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah serta Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia Cawangan Terengganu. Presiden NVOG, saudara Ahmad Fazrul Shahril mengetuai konvoi ini dibantu oleh saudara Abu Bakar selaku Pengarah Projek.

Bagi kelancaran konvoi, Konvoi dibantu oleh Abdul Rahim Daim bertindak sebagai pengemudi konvoi dengan bantuan petugas NVOG & Friends yang lain. Kembara Ihsan Samui ini melibatkan 42 buah motosikal berkuasa tinggi pelbagai jenis dan 6 buah kereta. Seramai 108 orang peserta dari seluruh negara, mengharungi perjalanan sejauh 420 kilometer bermula dari pekan Danok ke Koh Samui, Thailand. Program bermula pada 24 Oktober bersamaan hari Khamis dengan peserta konvoi berkumpul di Hotel Firatel seawal jam 3.00 petang. Sesi pendaftaran peserta dibuat sehingga jam 8.00 malam. Sesi taklimat dan perbincangan dibuat jam 9.00 malam.

Pada 25 Oktober, peserta konvoi dipecahkan kepada 2 kumpulan. Satu kumpulan mempunyai lebih kurang 28 buah motosikal. Konvoi berkereta mula bergerak seawal jam 7.00 pagi dari pekan Danok. Manakala kumpulan seterusnya bergerak setiap 5 minit dan singgah di Pit Stop Route 4 Sadao, seterusnya ke Route Hatyai AH2. Para peserta berkumpul semula Route 41 di Patthalung. Konvoi ini melalui beberapa bandar seperti Patthalung, Nahorn Sitamarat, Tha Sala, Sichun dan seterusnya tiba di Donsak pada jam 3.00 petang. Perjalanan menggunakan feri mengambil masa 1 jam 30 minit. Para peserta konvoi mengambil peluang ini untuk berehat, sambil berbual mengenali sesama peserta. Peserta tiba di Koh Samui dan meneruskan perjalanan sejauh 25 kilometer ke tempat penginapan iaitu Grand Thai House, Resort, Lamai Beach.

Pada 26 Oktober, seawal jam 8.00 pagi waktu tempatan konvoi Kembara Ihsan mula bergerak ke Kampung Melayu Samui. Konvoi ini disambut oleh murid-murid Sekolah Agama Nurul Ihsan, Koh Samui, bersama masyarakat Melayu, yang berdiri di kiri dan kanan jalan. Sekolah tersebut terdiri lebih dari 150 orang murid lelaki dan perempuan daripada keluarga nelayan yang berada di bawah tahap kemiskinan. Terdapat 50 orang pelajar anak yatim yang memerlukan bantuan dan sokongan.

Komuniti setempat terdiri daripada masyarakat Melayu terlalu sedikit jumlahnya, terpinggir serta dalam kesusahan tetapi tetap berkorban demi kelangsungan agama dan bangsa. Pengorbanan mereka amat dikagumi. Atas rasa tanggungjawab dan simpati, NVOG terpanggil untuk membantu komuniti di sini bersama Zahafiz Travel & Tour serta melakukan acara sunat beramai-ramai. Acara ini dilakukan oleh Doktor Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah serta Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia Cawangan Terengganu. Peserta konvoi ini dihidangkan sarapan pagi dengan menu tempatan.

Setelah selesai bersarapan, majlis penyerahan derma dan sumbangan dilakukan. Datuk Bandar Samui yang sedang membuat lawatan ke Kampung Melayu Samui turut hadir untuk menyerikan lagi majlis tersebut. Sumbangan berupa bahan pembelajaran agama, buku tulis, kelengkapan pembelajaran, poster dan Al-Quran juga turut diberikan. Pihak sekolah melahirkan rasa gembira kerana menerima peserta berkonvoi dengan motosikal berkuasa tinggi dalam jumlah yang ramai. Dalam majlis yang sama juga pihak Sekolah Agama Nurul Ihsan Samui, sebelum ini dalam Kembara Ihsan Samui 2015 telah melantik pengarah projek, saudara Abu Bakar Abdulloh sebagai wakil sekolah untuk menyelaras bantuan dari masyarakat di Malaysia berjaya direalisasikan sekali lagi dalam misi Kembara Ihsan Samui 2019 kali ini.

Setelah selesai majlis penyerahan sumbangan, peserta bersama masyarakat setempat bergotong-royong menyediakan makanan untuk makan tengahari. Penduduk setempat berasa gembira kerana dapat bersama-sama peserta menyediakan menu makan tengahari. Setelah solat zuhur, majlis tahlil dan doa selamat diadakan di Masjid Nurul Ihsan. Peserta bersama masyarakat setempat menikmati makanan menu tempatan. Para peserta kembali ke tempat penginapan setelah makan tengah hari. Pada sebelah petang hingga ke malam, para peserta melakukan aktiviti sendiri. Peserta menyewa motosikal dari pihak penginapan untuk melawat tempat-tempat menarik di sekitar Koh Samui. Ramai yang tidak melepaskan meluang menaiki gajah bersama rakan-rakan dengan kos yang berpatutan. Keesokannya iaitu pada 27 Oktober, kami semua menaiki bot ke pulau yang berhampiran untuk bersantai seharian dan berkelah serta melakukan aktiviti riadah bersama penduduk kampung yang dibawa bersama.

Pada 28 Oktober, jam 7.00 pagi waktu tempatan, konvoi sekali lagi ke Kampung Melayu, Samui kerana memenuhi jemputan bersarapan pagi bersama masyarakat setempat. Selesai bersarapan, konvoi bergerak ke jeti Raja Ferry dan Seatran untuk ke tanah besar, Donsak. Sekali lagi para peserta menggunakan feri untuk ke Donsak. Konvoi menggunakan laluan berbeza untuk kembali ke Danok. Laluan kali ini agak berbeza kerana melalui jalan biasa yang banyak kenderaan tidak seperti laluan di lebuh raya yang mempunyai 4 lorong. Perjalanan lancar walaupun sedikit kepenatan, peserta sampai di Songkla sekitar jam 5.00 petang dan tiba di pekan Danok pada waktu 6.30 petang.

Konvoi Kembara Ihsan Samui berkumpul semula di Danok sekitar jam 8.00 malam. Semua peserta berkumpul dan memberikan maklum balas terhadap program yang dijalankan. Semua peserta gembira dan menyatakan matlamat program tercapai dan mereka berpuas hati dengan pengurusan program. Ada juga peserta yang meminta diadakan lagi program seumpama ini pada masa hadapan. Setelah selesai perjumpaan, sebahagian peserta meneruskan perjalanan pulang ke destinasi masing-masing dan sebahagian lagi mengambil keputusan untuk bermalam di Danok dan meneruskan perjalanan keesokkan harinya.

Perkongsian oleh : Fazrul NVOG