Throwback : Golongan Kapcai Tetap Dihormati Di Kalangan Komuniti Motosikal

Dataran Shah Bandar yang terletak di Kuala Terengganu telah dijadikan sebagai lokasi berlangsungnya Santai Pantai Timur yang dikelolakan oleh TIBM, diketuai saudara Farizar Bani, Ayahanda Sani, Black Code dan dibantu Khairul Azwan, Ariff Hakimi dan Sam BBS. Ia merupakan acara kapcai yang diadakan di negeri Terengganu.

Santai Pantai Timur ini diadakan ekoran sokongan grup kapcai ketika berlangsungnya TIBM dan janji pihak penganjur kepada grup tersebut untuk menganjurkan acara kapcai. Persiapan dilakukan 4 bulan lebih awal tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran masalah tarikh. Akhirnya, persiapan dilakukan dalam masa sebulan setengah yang turut merupakan saat getir untuk memastikan semua perancangan berjalan lancar.

Acara ini turut mendapat kerjasama penuh dari kerajaan negeri serta agensi-agensi kerajaan lain seperti JPJ, JKJR dan JPAM. Acara bertuah kerana mendapat kerjasama Ketua Polis Negeri Terengganu menjayakan lagi Santai Pantai Timur ini. Turut tidak ketinggalan penaja acara ini yang terdiri dari Koyoko, Kenda Supido dan HVM kerana sudi memberikan sumbangan kepada para pemenang.

Sebanyak 5 buah motosikal menjadi rebutan para pengunjung yang bernasib baik membawa pulang motosikal Y150, Rs 150 Repsol, Honda Dash, Skuter Itale Jet dan 125Z kuning untuk sesi cabutan bertuah. Selain itu, sesi cabutan bertuah ini turut menyerahkan 2 helmet Arai (Open Face) original, 2 helmet Shoei (Open Face) original, 20 helmet SGV, bateri Koyoko, tayar motosikal, box Givi serta rim motosikal.

Menurut penganjur, acara ini diadakan bertujuan untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai serta memulihkan tanggapan negatif masyarakat terhadap grup kapcai dengan menghimpunkan seramai mungkin pemilik kapcai seluruh Malaysia. Secara tidak langsung, ia adalah usaha untuk meyakinkan golongan kapcai yang mereka masih lagi kumpulan yang dipandang tinggi dan dihormati di kalangan bikers.