Tersedia Dengan ‘Fully Carbon’

Sekalipun lambakan skuter maxi pelbagai jenama di pasaran tempatan terutamanya dari keluaran negara China, bagi pemilik motosikal Yamaha XMAX, Zainal A Rahim model dari Jepun itu masih lagi kekal sebagai skuter maxi pilihan ramai.

Menurut Zainal, Yamaha XMAX masih lagi memegang ‘title’ selaku skuter maxi paling ‘hot’ dalam pasaran tempatan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2018 lagi. Jika dibandingkan beberapa model lain, skuter ini menawarkan rekaan yang sporty dengan ciri premium dan paling penting ia cukup selesa.

Untuk info, model XMAX telah menjalani proses evolusi dengan menawarkan bentuk paling elegan dalam segmennya yang dapat dilihat daripada pelbagai sudut. Skuter ini juga mampu memecut lancar dengan sistem transmisi automatik tali-sawat V.

Sekalipun agak maxi, ia sesuai untuk mencelah di kesesakan jalan raya terutama di bandar-bandar besar. Bagi mereka yang suka berlibur di hujung minggu, Zainal menyifatkan model XMAX merupakan skuter yang ideal untuk perjalanan jarak jauh dengan kelajuan maksimum sekitar 140 kilometer sejam (km/j). Berbekalkan tangki bahan api 13 liter, membolehkan ia mencapai jarak perjalanan sehingga 300 kilometer namun bergantung kepada corak tunggangan, muatan dan permukaan jalan.

Menarik bagi model skuter Yamaha XMAX ini, ia antara skuter yang banyak dimodifikasi sama ada dari segi enjin atau dari segi rupanya. Sama ada penampilan secara kosmetik atau peningkatan dari kuasa enjin, skuter XMAX antara model yang cukup popular dari segi pengubahsuaian.

Kerana itu, Zainal cukup teruja apabila XMAX yang telah dibeli sejak tahun 2020 berubah dari wajah asal ke penampilan hari ini. Meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kepakaran 69 Garage untuk modifikasi sepenuhnya skuter kesayangannya, Zainal memilih tema Thai Look sebagai kepuasaan peribadinya.

“Saya memilih gaya Thai Look memandangkan versi sebegini amat digemari oleh pemilik motosikal di Malaysia. Malah, untuk mendapatkan aksesori tambahan juga mudah dan harganya juga berpatutan,” ujar Zainal ketika persoalan penulis mengenai imej modifikasi motosikal yang ingin disampaikan kepada netizen.

Menurut Zainal lagi, selain faktor mudah untuk mendapatkan komponen kosmetik pada skuternya, versi Thai Look agak mesra dan sinonim dengan pengguna motosikal tempatan sama ada dari jenis kapcai hingga ke skuter.

Memiliki perniagaan sendiri, Zainal turut memadankan beberapa komponen tempatan dan luar seperti sport rim dari jenama RCB Forged, penyerap hentakan jenis Pro Fender menjadi pilihan untuk padanan skuternya. Paling menarik berkaitan dengan skuter ini adalah keseluruhan bahan plastik dibaluti dengan lapisan karbon, sekali gus menjadikan XMAX ini sering mendapat pengiktirafan dari pelbagai autoshow yang disertainya.

Bagi mereka yang selalu mengikuti beberapa pertandingan motorshow atau autoshow, Zainal kerap menyertai pertandingan skuter cantik dalam kategori Thai Look. Untungnya, skuter milik Zainal kerap menjadi pilihan juri malah ada juga beberapa pertandingan yang berjaya meraih kedudukan yang tertinggi.

Malah, jika dilihat skuter XMAX milik Zainal, mungkin banyak perbezaan yang cukup ketara berbanding pemilik lain atau versi yang original. Sudah tentu pemasangan karbon pada keseluruhan badan skuter terbabit menampakkan sedikit ‘kecerian’ berbanding skuter XMAX yang lain.

Menurut Zainal, hampir 80 peratus keseluruhan badan skuter ini disaluti dengan full karbon. Begitu juga dengan komponen yang digunakan, hampir kesemuanya datang dari jenama negara jiran, Thailand. “Dari depan hingga ke belakang, anda akan dapat lihat penggunaan gentian karbon yang digunakan. Bagi menjadikan ia lebih mirip kepada Thai Look, penggunaan komponen juga banyak menggunakan barangan dari negara terbabit,” ujar peniaga ikan dari Guar Chempedak dalam daerah Yan ini.

Tambah Zainal lagi, kos keseluruhan yang digunakan untuk modifikasi skuter XMAX sehingga kini, melebihi RM60 ribu dan ia tidak termasuk kos pembelian skuter pada peringkat awal. Malah kosnya meningkat sekiranya Zainal menyertai pertandingan autoshow atau motorshow dengan perubahan dilakukan ke atas kosmetik sahaja.

Untuk info, penggunaan atau penggantian gentian karbon pada bahagian tertentu komponen motosikal adalah upgrade estetik dan prestasi, yang mana pemilik akan mengeluarkan kos yang mahal demi menjadikan penampilan skuter lebih ringan dan eksklusif.

Namun, ada sedikit rasa terkilan di hati Zainal apabila penjurian untuk motosikal versi Thai Look dan padanan karbon memerlukan pemerhatian dari juri yang benar-benar layak untuk mentafsirkannya.

“Tafsiran atau pandangan mengenai definisi karbon perlu dilihat oleh juri yang benar-benar pakar dan layak. Ia sesuatu yang agak subjektif dan hanya mereka yang ‘bertauliah sahaja mampu menilai sesuatu keseniaan itu,” ujar Zainal yang pernah berdepan dengan penganjur yang tiada ‘ilmu’ perihal subjek karbon.

Sekilas Fakta
Pemilik : Zainal bin A. Rahim
Panggilan : Nan
Umur : 39 tahun
Status : Berkahwin (2 perempuan, 1 lelaki)
Kerjaya : Pernigaan Sendiri
Asal : Guar Chempedak, Yan, Kedah
Hobi : Jentera 2 Roda
Jentera : Yamaha XMAX
Tahun : 2020

Spesifikasi Motor (Upgrade ke 353cc)
Kedai : 69 Garage
Aksesori : YHS Autoparts
Sistem Brek : Kaliper jenis MFZ
Hose Brake : HYB
Fork Depan : Kamui
Rim Sport : S Racing
Cover Set Airbush : Hafpaintig
Casing CVT : Masviral