Terkini Dari Kymco Dengan Penampilan Yang Lebih Sporty

Pengeluar motosikal dari Taiwan ini telah memperoleh populariti menerusi skuter keluarannya. Syarikat ini menawarkan skuter dan juga motosikal mampu milik seterusnya berentap dengan gergasi dalam industri dari Jepun dan juga Eropah. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, skuter Maxi Kymco mendapat sambutan yang menggalakkan.

Di Jepun, Kymco baharu sahaja memperkenalkan skuter komuter sporty terbaharu yang diberikan nama sebagai Racing S150. Gabungan ciri-ciri praktikal serta platform mesra pengguna, menjadikan skuter ini sebagai pengangkutan dua roda yang mudah serta menyeronokkan untuk digunakan setiap hari. Dikuasakan enjin silinder tungga dengan kepala silinder 4-injap, SOHC, 149cc dengan penyejukan udara, skuter ini menghasilkan 13hp pada 7,500rpm. Dilengkapi tangki minyak 5.7liter dan sistem suntikan-bahan api elektronik.

Sebagaimana kebanyakan skuter di luar sana, Kymco Racing S150 ini turut menghantar kuasa ke roda belakang menerusi CVT tanpa sebarang masalah dan memudahkan penunggangan. Ia bergolek di atas rim 12-inci depan dan belakang dengan tayar berukuran 110/70 di depan dan 120/70 di bahagian belakang. Manakala sistem pemberhentiannya pula didatangkan dengan brek disk depan dan belakang, masing-masing berukuran 240mm dan 200mm.

Selain itu, Kymco turut melengkapi Racing S150 dengan keperluan skuter yang didambakan para peminatnya. Sebagai contoh, terdapat ruang penyimpanan yang cukup besar dan luas untuk helmet di bawah tempat duduk. Di bahagian hadapan juga, sebuah bahagian kecil untuk menyimpan barang-barang yang lebih kecil seperti telefon pintar dan juga dompet.

Tidak ketinggalan, beberapa ciri lain seperti ketersambungan Bluetooth dan aplikasi telefon pintar yang membolehkan pemilik skuter menukar rekaan papar paparan, melihat informasi perjalanan dan juga notifikasi panggilan masuk serta mesej pada dashboard skuter.

Ditawarkan dalam tiga warna pilihan iaitu biru, black matte dan juga matte silver. Bagi makluman, Kymco Racing S150 ini merupakan skuter mesra bajet pengguna tetapi tetap sebuah kenderaan yang lengkap.

Sumber : Rideapart / Kymco