Terengganu Jadi Pilihan Perasmian Skuter Cilik

Seramai 20 wakil media pelbagai agensi dipilih untuk diterbangkan ke Kuala Terengganu, Terengganu atau lebih tepat lagi di Mayang Mall untuk menyaksikan perasmian model terbaharu Yamaha EGO Gear Pro Hybrid.

Ramai yang mempersoalkan, mengapa negeri Terengganu dipilih selaku tempat perasmian model terbabit. Hal ini berkait rapat dengan sokongan yang ditunjukkan oleh pemilik motosikal di sana yang kebanyakannya menggunakan skuter sebagai kenderaan pengantaraan.

Untuk rekod, Yamaha menyatakan bahawa sebanyak 40 peratus pengguna motosikal jentera skuter datangnya dari negeri ini. Dan tidak hairanlah, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memberi keistimewaan kepada negeri terbabit sebagai lokasi Yamaha Automatic Wold Rodshow.

Roadshow ini turut menyemarakkan semangat komuniti skuter automatik, menampilkan rangkaian penuh model automatik Yamaha, daripada model bergaya harian hinggalah pilihan premium sekali gus meraikan kebebasan, identiti dan kebanggaan dalam komuniti pengguna jentera Automatic Yamaha.

Hong Leong Yamaha Motor (“HLYM”) hari ini memperkenalkan EGO Gear Pro serba baharu, varian dipertingkat dalam rangkaian skuter automatic Yamaha, sempena Yamaha Automatic World Roadshow yang berlangsung di Mayang Mall.

Semasa hari pertama pameran terbabit, wakil media menikmati himpunan keseluruhan barisan model automatik Yamaha yang meraikan gaya hidup yang menekankan gaya, kebebasan dan mobiliti pintar.

Penulis berkesempatan menunggang uji secara ringkas skuter terbaharu ini. Agak besar berbanding rekaan terdahulu. Panjang model ini sekitar 1,850mm dengan kelebaran hanya 685mm manakala ketinggiannya sekitar 1,075mm. Ia jauh berbeza dengan model sebelumnya memandangkan model ini agak praktikal, gaya berbeza dan berbanding rekaan terdahulu.

Dari segi prestasi, ia tidak mengecewakan bagi penulis. Enjin Blue Core Hybri dengan Smart Motor Generator (SMG) memberi penggunaan bahan api yang cekap. Turut dilengkapi adalah Power Assist, yang memberi kuasa tambahan semasa memcut dari keadaan berhenti.

Model EGO Gear Pro ini juga agak praktikal digunakan oleh golongan lelaki. Ruang di bahagian tempat letak kaki di tengah cukup lebar dan selesa. Begitu juga di bahagian pembonceng, rekaan letak kaki adalah dari jenis anti-slip dan lebar.

Selain itu, model ini cukup sesuai bagi golongan wanita kerana ketinggiannya hanya sekitar 750mm dan berat sekitar 95kg sahaja. Bagi mereka yang merasakan jentera ini sudah cukup dijadikan sebagai pengangkutan ke lokasi berdekatan, ruang bawah tempat duduk seluas 18.6liter disediakan untuk penyimpanan pelbagai barangan yang dibeli dari kedai berhampiran.

Yamaha EGO Gear Pro merupakan model yang direka khas untuk mereka di bandar. Ini dapat dilihat pada pelana tempat duduk yang selesa, rak pasang siap dan turut dilengkapi dengan sistem Y-Connect (bagi memantau prestasi, servis dan perjalanan anda).

Dengan kata lain EGO Gear Pro ialah skuter serba boleh yang menjadi pilihan harian – lincah, cekap dan sentiasa boleh dipercayai untuk kegunaan harian seperti ulang-alik ke tempat kerja, urusan ringkas dan perjalanan rutin.

Model ini dipadankan dengan enjin Blue Core 125cc Hybrid yang bertenaga sekali gus praktikal, selesa dan mobiliti tanpa kerisauan, agar perjalanan anda lancar dengan penuh keyakinan.

Berikut adalah ringkasan spesikasi enjin diberikan;

• Prestasi Hibrid yang Lebih Bijak
Dikuasakan oleh enjin BLUE CORE Hybrid 125cc, EGO Gear Pro menawarkan penjimatan petrol yang baik, rasa tunggangan premium serta getaran enjin yang rendah.

Ia turut dilengkapi dengan fungsi Power Assist, yang memberikan kuasa tambahan semasa memecut dari keadaan berhenti – terutamanya apabila menunggang bersama pembonceng atau ketika memulakan perjalanan di jalan berbukit.

Smart Motor Generator (SMG) menawarkan permulaan senyap, one-push start dan operasi Stop & Start yang lebih lancar. Dengan tangki petrol 5.1 liter, penunggang dapat menikmati jarak tunggangan harian yang lebih praktikal dan memadai.

• Reka Bentuk Bergaya dan Mudah Dikendalikan
Badan bergaya aerodinamik dan ringan, EGO Gear Pro menawarkan kawalan yang tangkas di laluan sempit. Lampu hadapan LED memberikan pencahayaan terang, manakala lantai pijak anti-gelincir yang lebar memastikan tunggangan stabil dan selesa.

Setiap perincian mencerminkan komitmen Yamaha terhadap reka bentuk berkualiti tinggi dan mesra penunggang Model ini hadir dalam tiga pilihan warna gaya hidup terkini: Stellar White, Navy Green dan Cosmic Blu.

• Praktikal Untuk Kegunaan Harian
EGO Gear Pro dilengkapi ciri-ciri praktikal yang sesuai untuk kegunaan sebenar setiap hari. Ruang storan bawah tempat duduk 18.6-liter memuatkan barangan penting dan kelengkapan harian dengan mudah.

Tempat duduk yang direka semula memberikan keselesaan lebih baik kepada penunggang dan pembonceng, manakala pemegang belakang bersama rak rata menambah fleksibiliti untuk membawa barang.

Melalui aplikasi Y-Connect, pengguna dapat menerima notifikasi panggilan dan mesej, peringatan penyelenggaraan, data penggunaan bahan api, serta lokasi parkir terakhir.

Fungsi Answer Back Sistem memudahkan pencarian motosikal, manakala paparan meter LCD yang anggun menawarkan bacaan moden yang jelas.

Dengan pengenalan EGO Gear Pro, Yamaha terus mengukuhkan reputasinya dalam dunia skuter moden yang bergaya, pintar, serba boleh dan sesuai untuk kehidupan urban masa kini.

Model ini ditawarkan pada harga RM6,198.00 (tidak termasuk cukai jalan & insurans) dan boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara.

Spesifikasi Yamaha Ego Gear Pro
ENJIN
Jenis Enjin : Sejukan Udara, 4-Lejang, SOHC, 2-Injap
Susunan Silinder : Silinder Tunggal
Sesaran : 125cm
Lubang x Lejang : 52.4mm x 57.9mm
Nisbah Mampatan : 11.0:1
Kuasa Maksimum : 6.2kW (8.4PS / 6,500rpm
Tork Maksimum : 9.9Nm / 5,000rpm
Sistem Penghidup : Elektrik
Pelinciran : Takungan Basah
Isian Minyak Enjin : 0.84 liter
Sistem Bekalan Bahan Api : Suntikan Bahan Api
Sistem Nyalaan : TCI
Jenis Klac : Kering, Centrifugal, Shoe
Jenis Transmisi : Tali Sawat V-automatik/Automatik
Jenis Lampu : LED

Kerangka
Jenis Kerangka : Underbone
Suspensi Depan : Teleskopik
Suspensi Belakang : Lengan Buai
Tayar Depan : 110/70 Tanpa Tuib
Tayar Belakang : 110/70 Tanpa Tuib

Dimensi
P x L x T Keseluruhan : 1,850mm x 685mm x 1,075mm
Jarak Roda : 1,280mm
Jarak Kelegaan Bumi : 135mm
Tinggi Tempat Duduk : 750mm
Berta Basah : 95kg
Isian Tangki Bahan Api : 5.1liter