Tanda-tanda Bahaya Yang Perlu Anda Perhatikan Sebelum Membuat Keputusan

Motosikal terpakai bukan sahaja menjadi pilihan kerana harganya lebih murah, sebaliknya turut diburu atas pelbagai sebab lain. Ada yang beli sekadar untuk “basahan” ke kedai, ada juga yang mencari koleksi lama yang pernah jadi kegilaan satu masa dahulu. Tidak kurang juga, ada yang memang suka menjadikannya asas untuk projek modifikasi.

Apa pun tujuannya, membeli motosikal terpakai boleh jadi satu langkah bijak. Selain menjimatkan kos berbanding model baharu, pasaran motosikal terpakai menawarkan pilihan yang pelbagai. Kadangkala anda boleh jumpa model yang sudah tidak lagi dikeluarkan atau versi lama yang masih menjadi buruan pengumpul. Malah, ada penunggang yang sengaja memilih motor terpakai kerana ia lebih mudah untuk diubah suai tanpa perlu risau tentang nilai susut harga.

Namun begitu, bukan semua motosikal terpakai berada dalam keadaan baik. Ada yang nampak cantik tapi bermasalah. Di sinilah pentingnya kita sebagai pembeli tahu apa yang perlu diperhatikan, supaya motor idaman tidak bertukar jadi beban. Berikut adalah tanda-tanda bahaya yang wajar diberi perhatian sebelum membeli motosikal terpakai berdasarkan panduan daripada iMotorbike, platform atas talian nombor satu di Malaysia untuk jual beli motosikal terpakai.

1. Dokumen Pemilikan Tidak Lengkap
Geran asal ialah bukti sah sesuatu motosikal. Jika penjual gagal mengemukakan geran atau dokumen pemindahan milik, sebaiknya hentikan urusan serta-merta. Motor tanpa dokumen sah sukar untuk didaftarkan, tidak boleh diinsuranskan, malah berisiko tinggi terlibat dalam kes kecurian.

2. Harga Terlalu Murah
Kalau jumpa motor dengan harga terlalu rendah daripada pasaran, lebih baik ambil langkah berjaga-jaga. Selalunya ada yang tak kena, sama ada enjin bermasalah, ada kerosakan yang tersembunyi atau lebih malang lagi ia motosikal curi. Jangan hanya kerana harga murah, anda terus beli tanpa membuat perbandingan dengan harga semasa di pasaran.

3. Tiada Rekod Servis
Kalau penjual tidak dapat menunjukkan log penyelenggaraan atau resit servis, itu tanda amaran awal. Mungkin motor tidak pernah diservis dengan baik atau masalah yang ada langsung tidak diperbaiki. Jika ragu-ragu, minta bukti atau bawa motor untuk diperiksa oleh mekanik yang boleh dipercayai.

4. Tanda-tanda Kemalangan
Calar kecil mungkin perkara biasa untuk motosikal terpakai, tapi kalau handlebar bengkok, rangka tak sekata, ekzos kemek atau cat bercampur, itu petanda motor pernah terlibat dalam kemalangan. Kerosakan begini bukan sekadar kosmetik, malah boleh menjejaskan keselamatan jangka panjang. Sebelum buat keputusan, periksa dengan teliti.

5. Enjin Bermasalah
Enjin adalah nadi motosikal. Jika ada tanda kebocoran minyak, bunyi pelik atau asap ekzos berlebihan, itu jelas amaran awal. Masalah enjin bukan sekadar menjejaskan prestasi, tetapi juga boleh menelan kos pembaikan yang tinggi. Jangan hanya hidupkan enjin di kedai, periksa ketika enjin sejuk dan tunggang uji untuk pastikan keadaan sebenar.

6. Tayar & Brek Tidak Sekata
Tayar yang haus sebelah atau corak bunga tidak rata biasanya petanda ada masalah pada suspensi atau alignment. Jika disc calar teruk atau pad terlalu nipis, menunjukkan motosikal tidak dijaga dengan baik. Dua komponen ini sangat penting untuk keselamatan, terutama ketika hujan atau dalam situasi kecemasan. Jangan pandang ringan. Tayar dan brek boleh jadi penentu antara tunggangan selamat atau mengundang kecelakaan.

Motosikal terpakai boleh jadi pilihan berbaloi, sama ada untuk kegunaan harian, koleksi mahupun projek modifikasi. Tetapi risiko tetap ada, dan di sinilah pentingnya pembeli tahu tanda-tanda amaran yang wajar diperhatikan. Dengan langkah semakan yang betul dan memilih platform jual beli yang diyakini seperti iMotorbike, anda boleh elak kerugian besar serta memastikan setiap pembelian benar-benar berbaloi.