Tampil Memikat, Lengkap Dengan Ciri Keselamatan & Ketersambungan Pintar

Brixton Malaysia secara rasminya telah memperkenalkan skuter baharu Moucca 250 ke pasaran tempatan pada harga RM12,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Skuter dalam kelas 250 cc ini tampil menawan menerusi gaya reka bentuk yang diinspirasikan daripada elemen retro. Bagi penawaran estetik tempatan, jentera ini didatangkan dengan empat pilihan warna yang menarik. Pilihan warna tersebut merangkumi Mint Green, Backstage Black, Clockwork Orange, dan Enduro White.

Prestasi Brixton Moucca 250 dikuasakan oleh enjin 244 cc silinder tunggal, empat lejang, empat injap dengan sistem penyejukan cecair. Trenkuasa ini berkeupayaan menghamburkan kuasa maksimum 24.5 PS pada 8,250 rpm dan tork puncak mencapai 24 Nm pada 6,500 rpm.

Kuasa enjin disalurkan terus ke roda belakang menerusi sistem transmisi automatik jenis pemacu tali sawat (belt-drive). Sistem suntikan bahan api jentera ini dikendalikan oleh Bosch EFI, manakala penghidup elektrik didatangkan secara standard berserta tangki bahan api berkapasiti 12 liter.

Dari segi kelengkapan casis, suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik manakala bahagian belakang dilengkapi penyerap hentak berkembar yang boleh dilaras prabebannya (preload-adjustable). Sistem kawalan brek pula ditangani oleh cakera tunggal pada kedua-dua bahagian roda hadapan dan belakang.

Bagi sistem bantuan tunggangan, skuter ini dilengkapi dengan kelengkapan ciri keselamatan Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran serta sistem kawalan cengkaman (traction control). Roda jentera ini menggunakan rim bersaiz 12 inci di hadapan dan belakang dengan balutan tayar berukuran 120/70 pada kedua-dua bahagian, manakala berat jentera dicatatkan pada 130 kg berserta ketinggian tempat duduk paras 750 mm.

Paparan maklumat tunggangan dipersembahkan menerusi panel instrumen TFT-LCD yang menunjukkan pelbagai informasi penting. Kemudahan tunggangan lain yang turut disediakan merangkumi sistem kunci pintar (keyless system) serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C.

Gaya moden skuter ini diseri lagi dengan butang kawalan berlampu (backlit LED buttons) pada pod pemegang, serta pencahayaan LED sepenuhnya di sekeliling jentera. Ruang storan turut disediakan pada kompartmen cowl hadapan dan di bawah tempat duduk, disusuli ketersambungan Bluetooth bagi tujuan pemadanan bersama peranti elektronik penunggang.