Berita baik bagi mereka yang gagal untuk menempah model motosikal SYM VF3i LE (Edisi Terhad) yang baharu diperkenalkan pertengahan tahun ini apabila MForce Bike Holdings Sdn Bhd mengumumkan akan menambah unit tambahan ke atas model itu di pasaran tidak lama lagi. Kehangatan jentera moped paling berkuasa itu, mendapat sambutan mengalakkan sehingga MForce Bike Holdings Sdn Bhd menerima tempahan dan permintaan yang tinggi sejak model itu mula diperkenalkan pada Mei lepas.
“Kami ingin memaklumkan bahawa jumlah tempatan model ini melebihi 10,000 unit sehingga kenyataan ini diedarkan. Atas sokongan dan perhargaan kepada pelanggan, MForce Holdings terpaksa mengeluarkan 5,000 unit tambahan berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’ kepada pelanggan yang bertuah” ujar Asri Ahmad, Pengurus Besar Operasi MForce Bike Holdings Sdn Bhd.
SYM VF3i 185 LE merupakan model kapcai paling berkuasa di Malaysia turut dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci(ABS) dan juga beberapa naik taraf pada bahagian enjin untuk penunggangan yang optimum dan keselamatan yang maksima.
Menurut Asri Ahmad, sebelum ini pengeluaran model VF3i 185 LE terhad kepada 5,000 unit sahaja, namun pihak MForce terpaksa merubah keputusan untuk menambah keluaran kepada 10,000 unit sehingga Disember 2020 atas permintaan peminat VF3i dan juga pengedar-pengedar di seluruh Malaysia.
SYM VF3i 185 LE (Edisi Terhad) ditawarkan pada tag harga jualan RM9,338 tidak termasuk insuran dan cukai jalan. Sementara itu, pemilik VF3i 185 LE juga turut menikmati jaminan pengeluar selama dua (2) tahun atau jarak perbatuan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan juga perkhidmatan Pembelian Alat Ganti Tulen Atas Talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.