Dibangunkan sejak tahun 2018, motosikal elektrik Xubaka agak berbeza berbanding kebanyakan motosikal elektrik mini yang pernah dilihat sebelum ini. Tidak seperti motosikal mini dengan rekaan tipikal, Xubaka menggunakan kerangka dengan gaya basikal tetapi tanpa pedal.
Menurut Sodium Cycles yang mahu mengekalkan nilai vintaj dan juga keaslian, rekaan unik pada Xubaka ini membangkitkan ciri-ciri mitos motosikal era 1970an dan dalam masa yang sama seiring dengan futuristik Bauhaus pada senibinanya. Kerangka besi chromoly ini terdiri daripada suspensi fork hadapan tradisional tetapi menggantung suspensi lengan hayun untuk menampung terus ke bahagian tempat duduk penunggang. Pembonceng pula mempunyai suspensi sendiri di bahagian belakang.
Sekiranya penunggang tidak mahu tempat duduk belakang, mereka boleh menanggalkan dan menggantikannya dengan kargo untuk skuter atau aksesori keperluan lain. Di bahagian belakang ini menempatkan motor hub berkesinambungan 4kW dan 5.5kW yang menggerakan motosikal dengan kelajuan tertinggi 80km/j (50mph). Bagi makluman, kelajuan Xubaka terhad kepada 50km/j (31mph) di tempat asalnya.
Buat masa ini, Xubaka menggunakan bateri sel lithium-ion seperti yang terdapat pada semua motosikal dan basikal elektronik yang ada di pasaran. Namun begitu, Sodium Cycles bercita-cita untuk melengkapi Xubaka dengan bateri sodium-ion yang baharu seiring dengan nama syarikat. Bateri sodium-ion merupakan teknologi yang sedang membangun dengan pesat dan memberi pelbagai kelebihan dan alternatif untuk bateri lithium-ion konvensional. Sodium Cycles juga bercadang untuk menggunakan bateri sodium-ion yang dibangunkan oleh sebuah lagi syarikat dari Perancis iaitu TIAMAT yang menerima sokongan dari CNRS (French National Center of Scientific Research).
Xubaka dijadualkan untuk memasuki pasaran Eropah pada tahun 2021 dan seterusnya memasuki pasaran Amerika dengan harga sekitar €5,900 (US$7,170) – harga yang besar untuk versi terhad EU.
Sumber : elektrek.co