Persepsi pertama sebaik sahaja melihat motor ini, tentulah comel. Dimiliki oleh Apit dari Kuala Kangsar, Suzuki RV90 keluaran tahun 1970an ini membuatkan abam Bobby tertarik dan teruja tingkat tinggi. Apakah yang menyebabkan ramai peminat dua roda suka dengan motor ini? Adakah kerana rupa bentuknya atau nilai pasaran serja sejarahnya yang tersendiri?
Salah satu faktor wow motor ini, ia berusia puluhan tahun tetapi masih lagi kekal tampah hebat tanpa bantuan teknologi moden. Dikeluarkan oleh negara Jepun suatu masa dahulu, motor ini berjaya menawan banyak pasaran di seluruh dunia. Dikenali sebagai Suzuki Van Van 90 atau nama sebenarnya RV90, motor ini mempunyai pelbagai varian yang dipertingkatkan modelnya dari tahun 1972 hingga tahun 1981.
Macam cerita zaman Jepun pulak!
Disebabkan faktor usianya yang tahap antik ini jugalah membuatkan abam Bobby terpanggil untuk rembat masuk dalam Roadstar. Secara jujurnya, di tahun 2020 ini, Ysuku yang baharu ini pun yang dibuat berulang-alik kerja ada terkehel sana-sini. Kerosakan part sikit-sikit, sudah jadi perkara biasa. Itu motor alaf baru. Kita nak sembang pasal motor tahun 1970an. Zaman atuk kita dahulu.
Sebagaimana yang disebut awal tadi. Motor ini masih dalam keadaan yang sangat baik dan dijaga cukup rapi oleh pemiliknya. Satu pujian wajar diberikan kerana menjaga dan merestorasi model ini bukanlah tugasan yang mudah. Memandangkan faktor usianya yang sangat lama serta pastinya memerlukan masa untuk melengkapkan bahagian yang sudah dimakan usia dan juga rosak.
Bagi mengumpul item sebegini, tidak semua orang mampu melakukannya. Waima wang tunai berada dalam tangan sekali pun. Seperti yang dapat dilihat, motor ini disalut dengan cat berkualiti tinggi dan kekemasan yang sangat menarik sekali gus menaikkan aura kecomelannya. Warna terang dipilih memandangkan fizikal motor ini yang kecil berbanding motor-motor keluaran masa kini. Salutan warna yang terang membuatkan penunggang menjadi tumpuan dan menarik perhatian dari jauh lagi khususnya kepada peminat motor klasik ini.
Berkelajuan 90 km/j dan mempunyai 4 kelajuan, motor ini sesuai untuk tunggangan santai dan rileks. Kalau anda perasan, model ini sering kelihatan dalam banyak filem di layar perak yang bertemakan pantai seperti Miami Beach, Baywatch dan lain-lain lagi. Mungkin kerana kebanyakan pengguna di pesisir pantai gemar menggunakan Suzuki RV untuk bersiar-siar dan santai menyusuri pantai.
Berbekalkan tayar yang lebar, berbunga kasar, kecil tetapi gemuk dan sesuai dengan sebarang bentuk muka bumi, ia berjaya mendapat tempat di hati para penunggang tapi itu di luar negara ya! Dalam Malaysia tak tentu lagi. Sebagai contoh, Apit sendiri yang lebih gemar menunggang di petang hari dan juga menghadiri aktiviti retro yang diadakan.
Sebenarnya, di Malaysia ini masih lagi ada pemain Suzuki RV90 ini tapi bilangannya tidak seramai atau sebanyak motor-motor tunggangan harian yang didaftarkan. Tengok faktor usia pun dah boleh agak jumlah unit yang masih bergeran dan wujud di negara kita. Ya, motor ini memang lama. Hanya yang betul-betul kental, setia, tulus ikhlas dan istiqamah akan berjaya menyimpan khazanah istimewa sebegini dengan jayanya.
Agak-agak, berapa nilai pasaran motor ini? Motor yang masih segak on the road, kemas dan berdokumen secara sah. Oklah, abam Bobby bagi pembayang sikit. Kata pemilik motor ini, harga pasaran RV90 dibuka mahal sedikit daripada harga sebuah skuter Yamaha NVX yang baharu. Hah, dalam tahun 2020, ini dah kira kategori collector item baiii!