Stadium Hang Jebat Melaka Jadi Tumpuan Peminat Dua Lejang

Bertempat di perkarangan stadium Hang Jebat, telah berlangsungnya sebuah program “2 Stroke Legend Vol. 1” pada 14 dan 15 November 2025. Program yang berlangsung meriah ini dianjurkan oleh MNH Event Management yang diketuai saudara Nazri, sekali gus menghimpunkan peminat motosikal dua lejang dari pelbagai kawasan.

Selain program utama, segmen autoshow turut menjadi tarikan dengan penganjuran oleh EA Recreation Legacy di bawah kendalian Saudara Eijat. Kerjasama turut diberikan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta LAM Resources, memastikan kelancaran urusan logistik sepanjang dua hari penganjuran.

Acara ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti autoshow motosikal, pertandingan karaoke serta deretan booth barangan kering dan basah yang memeriahkan suasana. Kehadiran pengunjung yang pelbagai lapisan menjadikan program ini lebih hidup dan inklusif.

2 Stroke Legend Vol. 1 turut menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah, dengan tajaan daripada MNH Event Management, Amat Ayam Pro Exhausted dan Koyoko. Tarikan paling dinanti-nantikan sudah tentu hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kereta Satria Neo yang menjadi rebutan para peserta dan tidak ketinggalan juga para pengunjung.

Sebagai program yang menghimpunkan komuniti, penganjuran ini berjaya mengangkat minat terhadap motosikal dua lejang sambil menyediakan ruang bersosial dalam suasana santai dan tersusun. Aktiviti yang disusun sepanjang dua hari memberi peluang kepada peminat permotoran untuk berkumpul dan berkongsi minat yang sama.

Program 2 Stroke Legend Vol. 1 melabuhkan tirai pada jam 7 malam, menandakan penutup kepada penganjuran sulung yang berjaya menarik perhatian ramai dan memberikan pengalaman bermakna kepada semua peserta serta pengunjung.