Penampilan jentera neo-retro Benelli Panarea 125 kini diserikan lagi menerusi penawaran empat rona warna baharu bagi pasaran tempatan pada harga RM6,998. Merangkumi Charcoal Black, Rosa Pink, Modena Silver dan Ivory White, variasi ini menyertai barisan warna sedia ada bagi skuter gaya hidup tersebut yang sebelum ini diletakkan pada julat harga RM6,888 pada tahun 2022.
Pihak Benelli Malaysia menyediakan jaminan pengilang selama dua tahun atau 20,000 km, mana-mana tiba dahulu, berserta tawaran pembelian alat ganti tulen secara dalam talian tertakluk kepada terma dan syarat. Disasarkan buat penunggang yang mencari jentera kompak dan bergaya untuk kegunaan harian di bandar, Panarea 125 menggabungkan elemen rekaan klasik bersama sentuhan moden.
Dari segi penjana kuasa, jentera ini dilengkapi enjin 124 cc silinder tunggal, empat lejang, dua injap SOHC dengan suntikan bahan api elektronik dan penyejukan udara. Enjin ini berkeupayaan menjana kuasa maksimum 8.44 hp pada 7,500 rpm dan tork 9.2 Nm pada 6,000 rpm, di mana hantaran kuasa ke roda belakang dikendalikan oleh transmisi automatik CVT bersama pemacu akhir tali sawat (belt final drive). Bagi kemudahan penghidupan enjin, skuter ini didatangkan dengan kedua-dua pilihan penghidup elektrik dan penghidup kaki (kick starter).
Sistem casis dan suspensi Panarea 125 terdiri daripada fork teleskopik pada bahagian hadapan yang dipadankan bersama penyerap hentak spring gegelung teleskopik berpelembap minyak di bahagian belakang yang boleh dilaras prabebannya (spring preload). Aspek kawalan brek pula ditangani oleh brek cakera 190 mm di bahagian hadapan dan brek dram 130 mm di bahagian belakang.
Skuter ini bergerak di atas rim bersaiz 12 inci yang dibalut tayar berukuran 100/90-12 di hadapan serta 110/90-12 di belakang. Dari segi dimensi dan kapasiti, jentera ini mencatatkan berat kering 104 kg, ketinggian tempat duduk 760 mm, jarak kelegaan tanah 135 mm, serta dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 4.6 liter.
Pakej kelengkapan lain yang disertakan merangkumi lampu utama dan lampu belakang jenis LED, kluster instrumen gabungan analog-digital, lampu amaran bahaya (hazard lights), serta suis pemati enjin (engine kill switch). Bagi tujuan praktikaliti, ia menyediakan ruang storan 12 liter di bawah tempat duduk dan poket storan berkembar pada bahagian hadapan berserta port pengecasan USB.
Ditubuhkan di Pesaro, Itali pada tahun 1911, Benelli merupakan antara pengeluar motosikal tertua di dunia. Jenama ini terus memperluaskan penawaran modelnya di pasaran Malaysia menerusi pelbagai segmen yang merangkumi skuter neo-retro, motosikal kembara (adventure), naked bike, hingga kepada sportbike bertutup penuh (fully faired).